PPS Tiada Kuasa Campur Tangan Dalam Kemelut Jurulatih Persatuan Sukan

Diterbitkan: Jumaat, 7 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam menyelesaikan kemelut jurulatih yang kini melanda beberapa persatuan sukan di negara ini.

Pesuruhjaya Sukan Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh berkata pihaknya tidak mempunyai peruntukan kuasa bagi membolehkan PPS bertindak sebagai 'orang tengah' atau mengambil apa-apa tindakan terhadap persatuan terbabit selagi persatuan tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan ditetapkan dalam persatuan masing-masing.

"Masalah berkaitan dengan isu jurulatih yang melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan yang terbaru Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) adalah dalam bidang kuasa Majlis Sukan Negara (MSN) manakala PPS tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam perkara tersebut.

"MSN yang membayar gaji jurulatih dan mereka lebih berhak membuat apa-apa tindakan berhubung perkara tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama, Jumaat.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu berkata peranan PPS hanyalah menerima pendaftaran persatuan sukan yang baru dan memastikan persatuan sukan yang berdaftar di bawahnya mematuhi perlembagaan persatuan.

Mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997, bidang tugas PPS adalah menerima laporan dan menyiasat sebarang salah laku dalam pentadbiran sesebuah persatuan sukan.

BAM menghadapi krisis jurulatih apabila jurulatih perseorangan kebangsaan Datuk Misbun Sidek meletakkan jawatan secara mengejut dipercayai kerana berselisih faham dengan pentadbiran badan induk sukan badminton itu.

Ekoran itu, pemain perseorangan badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beberapa atlet lain bercadang untuk turut keluar daripada BAM.

Belum selesai isu BAM, jurulatih skuad karate negara, P. Arivalagan pula tidak berpuas hati dengan tindakan MAKAF kerana tidak mahu menyambung kontraknya yang tamat pada 31 Disember lalu.

MAKAF mengambil tindakan itu untuk memberi laluan jurulatih dari Iran, Vahid Khajeh Hosseini membimbing barisan skuad karate kebangsaan.

Keadaan itu menyebabkan sebilangan besar daripada atlet dalam skuad karate kebangsaan mengugut akan keluar daripada MAKAF sebagai membantah keputusan yang diambil oleh MAKAF.

Perkembangan terbaru, badan induk sukan sepak takraw kebangsaan dilanda ribut apabila barisan jurulatihnya secara beramai-ramai meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan individu tertentu dalam MSN.

Persoalannya sekarang siapakah yang sedia untuk mempertahankan nasib jurulatih kebangsaan yang telah banyak menyumbang dalam mengharumkan nama negara setelah rintihan mereka bagaikan tidak didengari oleh pihak MSN dan badan pendaftar persatuan sukan pula enggan campur tangan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan