suria

MAKAF Teruskan Hasrat Lantik Jurulatih Iran Ganti Arivalagan

MELAKA: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) meneruskan hasrat untuk melantik jurulatih luar dari Iran untuk melatih atlet karate senior manakala jurulatih kebangsan ketika ini P.Arivalagan akan membimbing skuad junior.

Presiden MAKAF Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata keputusan rasmi mengenai perkara itu akan diputuskan selepas MAKAF mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 25 Januari ini.

"Kita bersetuju dengan ketetapan jawatankuasa teknikal untuk melantik Vahid Khajeh Hosseini sebagai jurulatih negara untuk melonjakkan prestasi atlet karate di peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco MAKAF di kediamannya, di sini awal, Khamis.

Mesyuarat selama dua jam yang berakhir pada pukul 2.30 pagi itu turut dihadiri Timbalan Presiden 1 Datuk Mohd Noor Nordin Abdullah dan Setiausaha Agung Clement Soo.

Mohd Ali berkata beliau berpuas hati dengan laporan teknikal yang dibentangkan pada mesyuarat itu untuk melantik jurulatih luar manakala kontrak Arivalagan tamat pada 31 Disember lepas.

"Kita menghargai sumbangan beliau (Arivalagan) selama tujuh tahun bersama MAKAF sebagai seorang jurulatih yang bagus, tetapi kita mahu lebih bagus lagi dengan melantik Vahid kerana matlamat kita selepas ini ialah memenangi pingat di kejohanan karate dunia," katanya.

Laporan media menyebut keputusan MAKAF untuk tidak menyambung kontrak Arivalagan tidak dipersetujui oleh majoriti atlet karate.

Ketua Menteri Melaka ketika diminta mengulas isu berkata semua atlet dan jurulatih sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan diminta tidak mengulas kontrak Arivalagan sehingga 25 Januari ini.

Pada Sukan Asia di Guangzhou, China, November lepas, Arivalagan menerima pujian kerana anak didiknya R.Puvaneswaran memenangi pingat emas dalam acara kumite lelaki bawah 55 kg. Satu lagi pingat emas disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara kata lelaki.

Menurutnya MSN telah mengurangkan peruntukan tahunan MAKAF sebanyak 30 peratus tahun ini dan atas sebab itu ia tidak berupaya menampung dua jurulatih sekaligus.

"Oleh itu sekiranya MSN bersetuju, Arivalagan yang menerima RM7,000 sebulan sebagai jurulatih akan disambung kontrak setahun sekiranya dibiayai oleh MS Nuntuk melatih skuad junior, " katanya.

Vahid, 48, jurulatih skuad kebangsaan Iran ketika ini, ditawarkan gaji sebanyak US$5,000 sebulan untuk tempoh kontrak selama dua tahun, yang akan melatih skuad senior.

Beliau dijangka memulakan tugas sebagai jurulatih kebangsaan bermula 1 Februari ini sekiranya diluluskan oleh MSN.

Mohd Ali berkata Malaysia kali terakhir memenangi pingat di Kejohanan Dunia pada 2002 di bawah bimbingan jurulatih dari Iran, Ali Reza.

"Kita tidak boleh jamin untuk mendapat pingat pada Kejohanan Karate Dunia di Paris, Perancis pada tahun depan, tetapi peluang lebih besar sekiranya skuad negara dibimbing oleh Vahid," katanya.

Beliau berkata Malaysia mensasarkan memenangi pingat pada kejohanan dunia di Belgrade, Serbia pada Oktober tahun lepas tetapi gagal meraih sebarang pingat.

Sementara itu, beliau berkata Melaka akan menganjurkan kejohanan dunia karate peringkat junior dan kadet di MITC Ayer Keroh pada November tahun ini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ferguson Belum Puas Hati

Artikel Lain