suria

Punca Peletakan Jawatan Misbun Masih Jadi Tanda Tanya

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek enggan mendedahkan butiran lanjut sesi perbincangan bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh berhubung isu peletakan jawatan jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, Rabu.

"Tak manis jika saya maklumkan intipati yang dibincangkan antara saya, Datuk Nadzmi dan pihak BAM pada majlis makan tengah hari sebentar tadi. Seelok-eloknya saya perlu mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak terlebih dahulu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai pertemuan itu.

Jelasnya, pertemuan yang diaturkan oleh KBS bersama Nadzmi lebih bertumpu kepada penjelasan berhubung isu berkaitan badminton khususnya tindakan mengejut Misbun meninggalkan BAM tanpa sebarang alasan.

"Saya mulakan pertemuan ini secara rasminya dengan Datuk Nadzmi. Selepas itu, saya akan bertemu Misbun ketika makan malam hari ini untuk mendengar perkara yang ingin ditimbulkan dan punca sebenar beliau bertindak sedemikian," jelasnya.

Ditanya mengapa Nadzmi enggan bersemuka dengan Misbun, Shabery berkata Presiden BAM itu ingin bertemu sendiri dengan beliau dan menyerahkan perkara tersebut kepadanya.

"Saya rasa bukan soal dia tidak mahu bersemuka sendiri dengan Misbun tetapi dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Laporan akhbar pada hari ini (Selasa) melaporkan beberapa perkara yang tidak dinyatakan (Nadzmi). Ia boleh disalah tafsir dan tidak boleh digunakan untuk menjernihkan kemelut itu," ujarnya.

Menurut beliau, mungkin timbul salah faham di antara BAM dan Misbun melibatkan beberapa perkara dalam soal pengurusan.

"Oleh itu saya mahu mendengar penjelasan daripada Misbun mengenai perkara itu. Saya berperanan sebagai wakil kerajaan dan bertanggungjawab untuk tidak membenarkan porak peranda dalam persatuan yang boleh menjejaskan prestasi sukan negara," tegasnya.

Ahmad Shabery berkata, pihak kementerian seboleh-bolehnya tidak mahu campur tangan dalam urusan persatuan tetapi akan cuba membantu meleraikan kemelut yang masih menjadi teka-teki itu.

Pada pertemuan itu, Ahmad Shabery berkata Nadzmi berada dalam keadaan tenang dengan memberikan penjelasan bahawa BAM tidak diberi alasan berhubung sebab-sebab Misbun meletak jawatan.

"Itu kenyataan yang konsisten daripada BAM. Saya tidak campur tangan sebaliknya cuma ingin tahu apa yang berlaku dari segi pembangunan dan permasalahan dalam BAM," katanya.

Katanya, selesai pertemuan dengan kedua-dua belah pihak, hasil perbincangan itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sebelum jalan terbaik dikenal pasti tanpa menjejaskan mutu badminton negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain