suria

PM Akan Raikan Skuad Harimau Rabu Depan Di Seri Perdana

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan meraikan pasukan bola sepak negara yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini, dalam satu majlis makan tengah hari pada Rabu depan, di Seri Perdana di sini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada majlis itu juga Najib dijangka mengumumkan ganjaran yang bakal diterima kesemua pemain yang telah beraksi pada kejohanan melibatkan negara-negara Asia Tenggara tersebut.

Pasukan kebangsaan yang turut dikenali sebagai skuad Harimau Malaysia menamatkan penantian 14 tahun negara untuk membawa pulang piala AFF Suzuki selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Dis lalu.

Berikutan kemenangan itu Perdana Menteri mengumumkan Jumaat berikutnya iaitu 31 Dis lepas sebagai cuti umum.

Selain ganjaran daripada kerajaan, pemain akan turut menerima wang tunai daripada Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Tabung yang ditubuhkan bagi mengumpul sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan jika mereka memenangi piala tersebut, setakat ini menerima ikrar sumbangan lebih RM80,000.

Artikel Sebelum

Artikel Lain