suria

Pasukan Rali Proton Motorsports Azam Kekal Prestasi

Ahmad Shabery dan Atkinson (depan) di dalam kereta perlumbaan musim 2011, Proton Satria Neo S2000 pada pelancaran pasukan Rali Proton Motorsports.
Ahmad Shabery dan Atkinson (depan) di dalam kereta perlumbaan musim 2011, Proton Satria Neo S2000 pada pelancaran pasukan Rali Proton Motorsports.
Ahmad Shabery dan Atkinson (depan) di dalam kereta perlumbaan musim 2011, Proton Satria Neo S2000 pada pelancaran pasukan Rali Proton Motorsports.

SUBANG JAYA: Selepas mencatat keputusan memberangsangkan sepanjang musim lalu, pasukan Rali Proton Motorsports mahu mengulangi pencapaian terbaik itu dengan bantuan jentera baru Satria Neo Super 2000 menjelang pusingan pertama Cabaran Rali Antarabenua (IRC) yang akan membuka tirainya di Monte Carlo pada 18 hingga 22 Januari ini.

Pengurus Besar Proton Motorsports, Datuk Abdul Razak Dawood berkata, jentera baru untuk musim 2011 lebih kompetitif dan berupaya menyaingi kereta lain di laluan yang jauh lebih sukar dan mencabar terutamanya di Eropah.

"Sebelum ini kereta rali pelumba kita menggunakan enjin 278 kuasa kuda. Selepas tamat perlumbaan musim lalu dan mendapat maklum balas daripada pelumba, ia dinaikkan ke 305 kuasa kuda. Jadi jentera kita sudah setanding dengan pelumba negara lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Rali Proton Motorsports di Pusat Kecemerlangan Proton di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Abdul Razak berkata, kecemerlangan mana-mana pasukan untuk menakluki setiap kejuaraan rali bergantung kepada pengalaman pemandu menangani tekanan berlumba di laluan berais dan dilitupi salji di samping pemilihan tayar dan enjin yang digunakan.

"Perlumbaan di Monte Carlo menjanjikan cabaran berbeza kerana ada kalanya laluan treknya dilitupi salji tebal, berais, kering dan basah. Jadi pengalaman pemandu dan pemilihan tayar memainkan peranan penting," jelasnya.

Namun, pasukan yang akan bersaing dalam IRC dan Kejuaraan Rali Asia Pasifik (ARC) untuk musim 2011 itu cukup bertuah kerana akan diperkuat Chris Atkinson, Alister McRae dan pelumba baru, Per-Gunnar Andersson.

Atkinson yang merupakan bekas juara dua kali Kejuaraan Super 1600 Asia Pasifik pada 2003 dan 2004 akan bergandingan dengan Andersson dalam mengharungi kempen IRC di Eropah tahun ini manakala McRae berentap pada APRC.

Pada tahun lalu, pasukan Rali Proton Motorsports itu menduduki tempat kedua dalam Kejuaraan Pengeluar APRC dan menamatkan perlumbaan Rali China baru-baru ini sebagai juara dan naib juara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain