Thailand Ungguli Kejuaraan Berpasukan IODA 2010 - Sukan | mStar

Thailand Ungguli Kejuaraan Berpasukan IODA 2010

Diterbitkan: Isnin, 3 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Thailand mengungguli kejuaraan berpasukan keseluruhan Kejohanan Layar International Optimist Dinghy Association (IODA) Dunia 2010 yang berlangsung di Kompleks Perahu layar kebangsaan di sini, Isnin.

Pasukan itu dibarisi pelayar berbakat termasuk juara kategori wanita 2009, Noppakao Poonpat, Jirawat Jadklay, Don Whitcraft, Totsopon Mahawichean, Sarawut Phesiri yang membuat persembahan cemerlang untuk mengenepikan Singapura.

Peru menduduki tangga ketiga manakala Malaysia di tangga keenam.

Malaysia dibarisi pemenang pingat perak Sukan Asia 2010, di China baru-baru ini, Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan, Faizal Norizan, Ahmad Syukri Aziz, Mohd Isan Ali dan Nurul Ezzatul Akmal Mohd Ruzaimi.

"Pada awalnya mereka mempunyai harapan untuk meraih kejayaan, tapi kesilapan membawa padah," kata Pengurus kejohanan itu, Mohd Afendy Abdullah selepas kejohanan itu.

Semalam, Malaysia berjaya mengalahkan juara bertahan China.

Sebanyak 16 dari 48 pasukan layak bertanding di peringkat akhir untuk menentukan kejuaraan.

Sementara itu, Malaysia menaruh harapan kepada pelayar Ahmad Syukri Abdul Aziz yang menduduki tangga kelima setelah menamatkan lapan perlumbaan acara individu untuk memperbaiki kedudukan pada perlumbaan seterusnya.

Juara bertahan kategori wanita Noppakao Poonpat dari Thailand masih menjadi pendahulu acara itu, manakala rakan senegaranya Jirawat Jadklay menduduki tangga kedua dan Odile Van Aanholt dari Netherland Antilles di tangga ketiga. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan