suria

Satun-Langkawi Paramotor Lebih Meriah Tahun Depan

LANGKAWI: Cabaran Satun-Langkawi peluncur udara bermotor atau paramotor akan diadakan lebih meriah pada tahun depan dengan menjemput peserta dari Eropah, Afrika Selatan dan Asia Timur.

Pengerusi teknikal cabaran itu Lt Kol (B) Basir Abdul Rahman berkata cabaran itu dicadangkan bermula dari Langkawi ke Satun Selatan Thailand sejauh 58 km. "Kita bangga kerana cabaran pertama Satun – Langkawi 2010 mendapat kejayaan membanggakan", katanya selepas majlis penyampaian hadiah dan meraikan peserta cabaran itu di de Baron Resort di sini malam Sabtu.

Sembilan juruterbang yang menyertai cabaran Satun-Langkawi Paramotor 2010 dari Satun di Selatan Thai ke Langkawi melibatkan jarak 58 km mendarat dengan selamat di perkarangan Kompleks Pekan Rabu, Sabtu.

Seramai 12 peserta, sembilan dari Malaysia, masing-masing tiga dari Persatuan Paramotor Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) serta tiga dari Thailand, yang berlepas dari Satun berjaya menamatkan penerbangan paramotor. Cabaran itu anjuran bersama Kelab Rekreasi Langkawi (Kerel), kerajaan Kedah, Persatuan Paramotor Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Satun, Majlis Perbandaran Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan agensi kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain