suria

Tiada Syarat Letak Jawatan Jika Pemimpin Persatuan Sukan Gagal Tunai Janji

GEORGE TOWN: Kerajaan tidak pernah meletak syarat kepada pemimpin persatuan sukan untuk melepaskan jawatan sekiranya mereka gagal menunaikan janji menyumbang pingat untuk negara melalui acara tertentu, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

"Kita tidak pernah kenakan syarat kepada pemegang jawatan (persatuan) jika mereka tidak dapat menunaikan janji. Perkara ini kita serah kepada persatuan untuk membuat keputusan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Acara Paintball dan Autoshow di sini, Sabtu.

Razali diminta mengulas kenyataan Datuk Ahmad Ismail yang menyatakan kesediaannya untuk meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sekiranya pasukan kebangsaan gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Razali berkata kerajaan berterima kasih kepada pasukan sepak takraw negara kerana menyumbang dua pingat perak pada temasya itu.

Mengenai prestasi kontingen negara di Sukan Asia yang berakhir hari ini, Razali berkata kerajaan berpuashati dengan sembilan pingat emas yang diperolehi.

"Masih banyak ruang untuk memperbaiki kelemahan pasukan kita walaupun pencapaian kali ini melebihi Sukan Asia di Doha," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain