suria

Skuad Hoki Atur Strategi Bagi Olimpik 2012

KUALA LUMPUR: Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) bersama para jurulatih akan mula mengatur strategi untuk program "Road To London 2012" sebaik selesai menjalankan penilaian terhadap persembahan skuad lelaki negara pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.

Jurulatih kebangsaan Stephen Van Huizen berkata penilaian, yang akan diadakan dalam masa terdekat ini, merupakan maklumat penting bagi PHM merangka aktiviti pasukan kebangsaan dalam menghadapi pusingan kelayakan Olimpik yang diadakan awal tahun 2012.

"Pada masa ini, para pemain akan kembali ke pasukan masing-masing untuk bermain dalam Liga Hoki Kebangsaan (yang bermula 3 Dis) dan mereka akan berkumpul semula pada Mac tahun depan," katanya kepada Bernama mengulas keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyenaraikan skuad hoki lelaki negara dalam program "Road to London 2012".

Pada Khamis lepas, Menteri Belia dan Sukan (KBS) Datuk Seri Ahmad Shabery Chik mengumumkan di sini bahawa skuad hoki lelaki negara akan disenaraikan dalam program negara ke Olimpik 2012 berikutan kejayaan memenangi pingat perak Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China.

Sementara itu, Pengurus pasukan hoki lelaki George Koshi berkata sentuhan Stephen Van Huizen, yang baru dilantik sebagai jurulatih pasukan hoki lelaki sejak Febuari tahun ini, nyata membuahkan impak positif kepada skuad itu.

"Pasukan hoki Malaysia mempamerkan kemajuan yang amat baik. Bagaimana dalam masa setahun, kami menyaksikan prestasi meningkat dengan ketara.

"Setiap orang, jurulatih, pemain berusaha gigih untuk mencapai kejayaan. Meskipun kita tidak memenangi (pingat emas) Sukan Asia, para pemain menunjukkan prestasi di luar jangkaan," katanya.

Koshi turut menyifatkan peningkatan prestasi itu sebagai pelonjakan momentum berikutan penyertaan pasukan negara dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa sejak tahun lepas lagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain