suria

Sukan Asia: Bryan Raih Gangsa, Pingat Terakhir Malaysia

GUANGZHOU: Selepas berjaya merangkul dua pingat perak buat Malaysia, Bryan Nickson Lomas kembali ke Pusat Akuatik Aoti untuk menyumbang pingat gangsa melalui acara 10m platform lelaki.

Bryan menghadiahkan pingat terakhir untuk negara pada Sukan Asia ke-16 di sini hari, Jumaat.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dan gembira bila dapat pingat gangsa sebab sasaran saya pun hanya mahu bertanding untuk pingat gangsa," katanya yang mengumpul 478.60 mata dalam acara tersebut.

Seperti dijangka, China terus mendominasi dua kedudukan teratas dengan penerjun berusia 15 tahun, Chao Yuan, mengejutkan rakan sepasukan, Hou Lian, yang juga pemegang emas Sukan Olimpik Beijing 2008.

Chao berjaya mengumpul 557.15 mata untuk pingat emas manakala Huo terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 552.50 mata.

Pada penampilan kedua pada Sukan Asia, Bryan, 20, berjaya memperbaiki pencapaian beliau dengan meraih dua pingat perak bersama Yeoh Ken Nee dalam acara 3m papan anjal seirama dan Ooi Tze Liang dalam 10m platform seirama.

Menurut Bryan, tumpuan beliau kini adalah ke arah persiapan bagi menghadapi Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-14 di Shanghai, China, Julai tahun depan.

"Selepas Sukan Asia ini saya mahu berehat seketika sebelum menyambung semula latihan bagi menghadapi kejohanan dunia itu," katanya.

Sementara itu, Ooi yang membuat penampilan pertama di Sukan Asia, sekadar menduduki tempat kelapan dengan mengumpul 397.10 mata.

"Dalam perkembangan lain, dua penerjun negara, Leong Mun Yee dan Ng Yen Yee terpaksa menarik diri daripada menyertai acara 3m papan anjal selepas kedua-dua mereka mengalami kecederaan di bahagian peha.

Selepas acara berkenaan menutup tirainya malam ini, China menyapu bersih kesemua 10 emas sementara Malaysia di tempat kedua dengan empat perak dan lima gangsa, sekali gus menyaksikan pencapaian terbaik negara dalam acara terjun pada Sukan Asia. - BERNAMA

Artikel Lain