suria

Malaysia Tewas Kepada Pakistan

GUANGZHOU: Malaysia terlepas peluang mendapat tiket automatik ke Sukan Olimpik London 2012 selepas tewas 0-2 kepada Pakistan dalam perlawanan akhir hoki lelaki pada Sukan Asia ke-16 di Stadium Hoki Aoti, di sini, Khamis.

Pencapaian pingat perak itu bagaimanapun merupakan sejarah buat skuad negara sejak Malaysia mula menyertai acara itu pada edisi ketiga di Tokyo, Jepun, pada 1958.

Pada edisi lepas di Doha, Qatar, pada 2006, Malaysia hanya mendapat tempat keenam dan pencapaian terbaik ialah pingat gangsa sebanyak tujuh kali dengan kali terakhir di Busan, Korea Selatan, pada 2002.

Selepas menumpaskan India 4-3 pada saingan separuh akhir, Selasa lalu, majoriti pemain skuad bimbingan Stephen Van Huizen membotakkan kepala sebagai membayar nazar kerana mara ke final.

Selepas terlepas beberapa peluang menembusi gawang Malaysia, Pakistan akhirnya mendapat gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh pemain berpengalaman Sohail Abbas pada minit ke-24.

Tiga minit selepas masa rehat, Pakistan menambah gol kedua menerusi Rehan Butt yang mendapat umpanan dari Shafqat Rasul.

Shafqat mulanya cuba memukul bola ke gawang selepas melepasi benteng negara tetapi ditampan penjaga gol Malaysia, S.Kumar dan bola tersebut pantas di tolak Rehan ke jaring.

Pakistan mendapat peluang satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-55 tetapi ketangkasan Kumar berjaya mengelak pintu gol dibolosi.

Malaysia mendapat tiga pukulan sudut penalti, pada minit ke-40, 44 dan 61 tetapi gagal disempurnakan oleh kapten pasukan Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor, Muhammad Razie Abd Rahim dan Muhamad Amin Rahim.

Dalam perlawanan penentuan gangsa, India menewaskan juara bertahan dari edisi Doha, Korea Selatan, 1-0 hasil jaringan Tushar Khandker pada minit ke-40. Jurulatih Stephen berkata anak buahnya nampak gugup dan banyak melakukan kesilapan bila beraksi pada perlawanan akhir.

"Walaupun bangga dengan pencapaian pada temasya itu, namum sedikit kecewa kerana hanya selangkah untuk ke Sukan Olimpik London 2012," katanya.

Juara Sukan Asia itu akan mendapat tempat secara automatik ke Sukan Olimpik London.

Malaysia menjadi naib juara Kumpulan B selepas Singapura 3-0, seri 2-2 dengan Korea Selatan, membelasah Oman 12-2 dan menjinakkan China 4-2.

MALAYSIA: Baljit Singh, Hafifihafiz Hanafi, Muhamad Amin Rahim, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Nabil Fikri Mohd Noor, Muhamad Sukri Abdul Mutalib, Muhammad Razie Abd Rahim, Azlan Misron, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, S.Kumar.

PAKISTAN: Zeeshan Asfraf, Muhammad Zubair, Waseem Ahmad, Muhammad Imran, Shakeel Abbasi, Rehan Butt, Muhammad Rizwan, Salman Akhbar, Shafqat Rasool, Muhammad Rashid, Sohail Abbas. - BERNAMA

Artikel Lain