suria

Hoki Dalam Program 'Road To London 2012'

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil keputusan untuk menyenaraikan skuad hoki lelaki negara dalam program "Road to London 2012', kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya keputusan itu dibuat setelah menilai secara positif kejayaan skuad itu mencipta sejarah Sukan Asia dalam memperoleh pingat perak di Guangzhou, China.

Biarpun tewas 0-2 kepada Pakistan pada perlawanan akhir, Ahmad Shabery berkata ia tidak bermakna mereka telah gagal sepenuhnya.

"Sekarang kita perlu fikir program terbaik untuk mereka agar misi membawa skuad hoki layak menyertai Sukan Olimpik London dapat direalisasikan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir itu di Ikano Power Centre, Mutiara Damansara, di sini, Khamis.

Program 'Road to London 2012' merupakan program persediaan atlet negara dalam memburu emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.

Program itu kini diikuti oleh 21 atlet daripada empat jenis sukan iaitu badminton (8), memanah (4), berbasikal-trek (5) dan empat penerjun sukan akuatik.

Ahmad Shabery juga berkata kementeriannya menarik nafas lega dengan kejayaan kontinjen negara mencapai sasaran sembilan pingat emas pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ketua kontinjen negara Datuk Zolkples Embong, atlet, jurulatih dan pegawai yang sama-sama bekerja keras di Guangzhou.

Beliau tutut menyifatkan bahawa penyertaan kontinjen negara ke Sukan Asia pada kali ini adalah antara yang terbaik malah ia dapat menandingi kutipan di Sukan Asia Doha, Qatar pada 2006.

Sebagai rekod, pada edisi Doha, Malaysia berjaya meraih sebanyak lapan pingat emas. - BERNAMA

Artikel Lain