suria

Paralimpiad: Sarawak Masih Teratas Carta Pungutan Pingat

MELAKA: Sarawak berada di tangga teratas jumlah pungutan pingat selepas tamat hari keempat Sukan Paralimpiad ke-15 di Melaka.

Sarawak menambah 18 pingat emas, 31 pingat perak dan 21 pingat gangsa menjadikan kutipan pingat keseluruhan negeri itu 68 pingat emas, 91 pingat perak dan 74 pingat gangsa.

Pasukan Sarawak memperoleh lapan pingat emas menerusi acara renang, olahraga (7), tenpin boling (2) dan powerlifting (1).

Pingat perak dan pingat gangsa Sarawak diperoleh antaranya menerusi acara olahraga dan renang yang menutup tirai aksi, Khamis.

Johor masih mengekori rapat dengan jumlah kutipan 52 pingat emas, 25 perak dan 26 gangsa. Hari ini, Johor menambah 13 pingat emas, dua perak dan lapan gangsa.

Johor memperoleh lapan pingat emas menerusi acara olahraga, petanque (3) dan renang (2) manakala perak dan gangsa diperoleh menerusi acara sama selain acara tenis berkerusi roda yang menyumbang satu pingat gangsa.

Pasukan Kuala Lumpur masih menghuni tangga ketiga dengan jumlah pungutan 36 pingat emas, 29 perak dan 39 gangsa dan hari ini Kuala Lumpur mendapat sembilan pingat emas, enam perak dan 12 gangsa.

Hari keempat juga menyaksikan tuan rumah Melaka mengutip lapan pingat emas, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing enam, Pulau Pinang (empat), Sabah dan Kelantan (masing-masing dua) manakala Kedah, Pahang, Labuan, dan Perlis masing-masing satu.

Dengan kebanyakan acara utama seperti olahraga dan renang tamat Rabu, hari ini hanya menyaksikan enam acara dilangsungkan iaitu bola keranjang berkerusi roda, tenis berkerusi roda, boling padang, catur, boccia dan perahu layar.

Temasya selama enam hari bermula Ahad lepas, menawarkan 1,750 pingat. Daripada jumlah itu sebanyak 571 pingat emas, perak (571) dan 608 butir gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Yamini Sekadar Raih Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain