suria

Gol Rooney Bantu United Mara Ke Kelompok 16 Terakhir

Rooney meraikan jaringannya dengan Michael Carrick (kiri).
Rooney meraikan jaringannya dengan Michael Carrick (kiri).
Rooney meraikan jaringannya dengan Michael Carrick (kiri).

GLASGOW: Wayne Rooney kembali menemui sentuhan berbisa selepas berehat dua bulan apabila menjaringkan gol kemenangan saat akhir Manchester United untuk menewaskan Rangers 1-0 sekali gus menempah tiket ke kelompok 16 terakhir.

Penyerang England itu yang baru pulih daripada kecederaan buku lali menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87 selepas Fabio diasak oleh Steven Naismith untuk memastikan United menamatkan perlawanan Kumpulan C di tempat kedua.

Ia adalah gol kedua Rooney musim ini, satu lagi juga menerusi sepakan penalti ketika bertemu West Ham pada Ogos lalu.

Naismith melakukan terjahan kasar ke muka Fabio apabila penyerang Rangers itu cuba mengeluarkan bola di dalam kotak penalti.

"Rooney begitu yakin untuk mengambil sepakan penalti. Ia bukan perlawanan yang mudah untuknya memandangkan dia terlepas beberapa perlawanan sebelum ini. Kami amat berbangga dengan prestasi cemerlangnya," kata Pengurus Red Devils, Sir Alex Ferguson.

United sering melancarkan serangan dan Rooney dilihat mengemudi hampir keseluruhan permainan tetapi percubaan kemasnya berjaya ditepis penjaga gol Rangers.

United kini ketinggalan tiga mata di belakang Valencia. Kekalahan itu menamatkan peluang Rangers untuk meneruskan kemaraan ke kejuaraan Eropah.

Rooney tampil buat kali pertama bersama United sejak bertemu Bolton pada September lalu.

Tempoh dua bulan itu membawa pelbagai kisah duka buat Rooney yang nyaris meninggalkan Old Trafford sebelum bersetuju memperbaharui kontrak selama lima tahun.

Kecederaan buku lali yang diperolehinya ketika menjalani sesi latihan pada 19 Oktober lalu memaksa dia diketepikan selama empat minggu.

Dia turut diturunkan selaku pemain gantian pada babak kedua ketika United menundukkan Wigan 2-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.

BARISAN PEMAIN

RANGERS: McGregor, Davis, Whittaker, Broadfoot, Weir, Foster, Naismith, McCulloch, Hutton, Weiss, Miller. (Pemain gantian: Alexander, Fleck, Beattie, Loy, Perry, Wylde.)

MANCHESTER UNITED: Van der Sar, O'Shea, Evans, Smalling, Fabio Da Silva, Nani, Carrick, Scholes, Giggs, Berbatov, Rooney. (Pemain gantian: Amos, Evra, Brown, Anderson, Hernandez, Obertan, Macheda.)

Artikel Sebelum

Yamini Sekadar Raih Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain