suria

Sukan Asia: Hoki Malaysia Mara Ke Akhir

GUANGZHOU: Malaysia mencipta sejarah dalam Sukan Asia apabila skuad hoki lelaki negara melangkah ke final sejak 1958 dengan menewaskan India 4-3 pada perlawanan separuh akhir di sini hari ini.

Jaringan emas Muhammad Amin Rahim lima minit dalam masa tambahan berjaya membuka lembaran baru dalam sukan itu sekaligus menebus kekecewaan di tangan bekas juara dunia itu dan penyandang emas Sukan Komanwel di New Delhi, bulan lepas.

Malaysia ketinggalan dua kali dalam jaringan sebelum bangkit untuk menyamakan kedudukan 3-3 dalam masa penuh, memaksa perlawanan beralih ke masa tambahan 'sudden-death'.

Kejayaan bermakna itu membolehkan Malaysia menebus kekalahan 2-3 kepada India di New Delhi dan mencapai sasaran pingat di sini selepas menduduki tempat keenam pada edisi lepas di Doha, Qatar, pada 2006.

"Pemain bermain dengan cemerlang dan melakukan tugas dengan baik sekali di benteng pertahanan dan pukulan sudut penalti. Kemenangan ini adalah hasil kerja secara berpasukan dari penjaga gol S. Kumar hingga ke barisan penyerang," kata ketua jurulatih Stephen Van Huizen.

Perlawanan menarik dan penuh debaran itu turut disaksi oleh Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan ketua kontinjen negara Datuk Zolkples Embong.

Dalam saingan itu, kedua-dua pasukan memulakan rentak dengan berhati-hati dengan cuba mempertahankan benteng pertahanan sebelum Malaysia membuka tirai jaring menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-32.

Bagaimanapun, India menyamakan jaringan beberapa saat sebelum berakhir babak pertama apabila pukulan Sandeep Singh menembusi benteng pertahanan Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Dua minit selepas babak kedua bermula, Khandker Tushar meletakkan India di hadapan dengan jaringan padang sebelum Azlan Misron menyamakan semula kedudukan pada minit ke-49.

Ketua pasukan India Raj Pal Singh sekali lagi meletakkan India di hadapan pada minit ke-54 tetapi tinggal tiga minit sebelum siren penamat dibunyikan, Muhamad Amin menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam siri Sukan Asia ialah pingat gangsa sebanyak tujuh kali dengan kali terakhir pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Pada perlawanan akhir Khamis ini, Malaysia akan menentang Pakistan yang sebelum ini menewaskan juara bertahan Korea Selatan 4-3 selepas pukulan penalti dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain