suria

Perlu Fokus Menentang Pakistan: Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya mencipta sejarah buat pertama kalinya melangkah kaki ke final, skuad hoki Malaysia kini memberi fokus bagi menyempurnakan misi menundukkan Pakistan pada perlawanan akhir Khamis ini sekiranya ingin beraksi pada Sukan Olimpik 2012 nanti.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru agar semua pemain mengetepikan kegembiraan menewaskan India itu dan perlu memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Pakistan esok.

“Kita perlu ketepikan kejayaan menewaskan pasukan India itu. Marilah kita memberi fokus pada final nanti kerana ia adalah penting untuk memenangi perlawanan ini kerana ia bakal merupakan pingat emas pertama negara pada Sukan Asia dan lebih penting kemenangan itu bakal melayakkan kita beraksi pada Sukan olimpik 2012,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Kali terakhir pasukan Malaysia pada Sukan olimpik ialah di Sydney pada tahun 2000, di kedudukan ke-11, manakala skuad negara tidak layak pada dua temasya terakhir, di Athens (2004) dan Beijing (2008).

“Tidak semua orang dapat peluang ini di Guangzhou, tetapi kami telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, bekerja keras serta permainan baik selepas kecewa pada Sukan Komanwel, bulan lalu.

“Marilah kita sama-sama menaikkan kembali nama sukan hoki Malaysia dan menjadikan negara kita sebagai kuasa hoki. Ia mungkin mengambil masa yang lama, namun apa yang dilihat pada Sukan Asia ini ketika menentang pasukan gergasi, ia adalah sesuatu yang perlu dibanggakan.

“Kita mempunyai ramai bakat muda baki membawa sukan hoki ke peringkat dunia. Pakistan mungkin muncul dengan muka baru di Guangzhou selepas terkeluar pada Piala Dunia, namun pasukan itu telah bangkit dan mampu mara ke final selepas menewaskan penyandang juara, Korea pada saingan separuh akhir.

“Kita perlu berwaspada dengan mereka, namun sekiranya kita terus fokus, kita mampu menewaskan mereka. Berilah komitmen sepenuhnya tetapkan kemahuan seperti mana yang telah ditunjukkan ketika menentang India semalam, dan saya optimis kita akan mendapat keputusan yang positif,” katanya.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut berterima kasih kepada penyokong-penyokong negara yang turut hadir pada perlawanan itu. Saya mengalu-alukan kehadiran semua dalam memberi sokongan kepada pasukan hoki ini.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad Malaysia pada Sukan Asia mendapat pingat pertama (gangsa) di New Delhi 1951, seterusnya pada tahun 1962, 1970, 1974, 1978, 1982 dan 1990. Kali terakhir ialah pada tahun 2000, di Busan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain