suria

Penerjun Negara Rangkul Dua Perak Di Kolam Renang

GUANGZHOU: Dua pasangan penerjun negara berjaya memperbaiki persembahan masing-masing sebelum mengutip dua pingat perak dalam acara lelaki dan wanita pada Sukan Asia ke-16 di sini, Isnin.

Penerjun wanita Leong Mun Yee memperbaiki pencapaian gangsa pada Sukan Asia edisi 2002 dan 2006 lalu dengan merangkul pingat perak dalam acara 3m papan anjal seirama wanita.

Mun Yee, yang berganding dengan Ng Yan Yee, memperoleh pingat perak apabila mengumpul 279.90 mata.

Walaupun memberikan persembahan baik, Mun Yee-Yen Yee terpaksa akur dengan terjunan oleh pemenang pingat emas, Shi Tingmao/Wang Han dari China yang mengumpul of 315.60 mata.

Pingat gangsa milik pasangan Jepun, Mai Nakagawa/Sayaka Shibusawa, yang mengumpul 277.50 mata.

"Saya amat bangga sekali untuk memenangi pingat ini. Ini merupakan pingat perak pertama dalam Sukan Asia," kata Mun Yee.

Katanya pesaing dari negara lain amat mantap khususnya pasangan tuan rumah, China.

Pada Sukan Asia Busan 2002 di Korea Selatan, Mun Yee memperoleh pingat gangsa dalam acara sama selepas berganding dengan Farah begum Abdullah dan empat tahun kemudian di Doha, Oatar, beliau berganding dengan Elizabeth Jimie untuk mengutip pingat gangsa.

Sementara bagi Yan Yee, pencapaian pingat perak itu tidak dijangkakan sama sekali.

"Ini adalah kali pertama saya mengambil bahagian pada Sukan Asia dan amat bangga sekali untuk mengutip pingat perak," katanya.

Sementara itu, dalam acara lelaki Platform 10m seirama, Bryan Nickson Lomas dan Ooi Tze Liang mengumpul 407.16 mata untuk meraih pingat perak.

Pencapaian pingat perak adalah pertama buat Bryan dalam siri Sukan Asia selepas pulang dengan tangan kosong pada edisi lepas di Doha, Qatar, empat tahun lalu.

"Saya tidak jangka mampu meraih perak...lebih-lebih lagi berganding dengan Ooi buat pertama kali. Namun, kami bangga dengan persembahan di sini," kata Bryan.

Pasangan China, Yang Liguang dan Zhou Luxin merangkul emas dengan 486.57 mata manakala Kim Chon/So Myong Nyok dari Korea Utara memperoleh pingat gangsa dengan catatan 394.08 mata.

Hari ini, acara Platfrom 10m seirama wanita dan 3m papan anjal seirama lelaki akan berlangsung.

China dijangka sekali lagi mendominasi acara terjun pada temasya kali selepas menyapu bersih kesemua 10 emas yang dipertandingkan pada Sukan Asia 2006 di Doha. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gallas Kapten Baru Spurs

Artikel Lain