suria

Misi Mencari Tiga Emas

MISI meraih sembilan emas pada Sukan Asia yang kini sedang rancak berlangsung di Guangzhou, China mungkin terlaksana apabila sehingga hari ke-12 (Isnin) kontinjen Malaysia telah berjaya meraih enam pingat emas.

Sebelum ini, kontinjen negara menyasarkan emas dalam tiga acara pilihan utama iaitu, badminton, skuasy dan boling. Namun hanya acara skuasy dan boling sahaja yang mencapai sasaran, sebaliknya acara badminton gagal memberi sebarang pingat emas, lebih-lebih lagi sandaran utama kepada perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei terkulai kepada musuh tradisi tuan rumah, Lin Dan pada saingan akhir, Ahad.

Begitu juga tamparan buat acara berpasukan badminton yang tersingkir awal pada saingan kelayakan serta beregu utama dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi 2006 di Doha apabila tewas kepada pasangan dari Indonesia, Markis Kido/Hendra Setiawan.

Aksi hambar skuad badminton ini sekurang-kurangnya telah diubati dengan pencapaian atlet wushu, Chai Fong Ying yang mencipta sejarah apabila menjadi atlet pertama meraih emas untuk negara pada kejohanan ini sekali gus menceriakan perkampungan sukan kontinjen Malaysia.

Selepas itu, Mohd Azizulhasni Awang menambah koleksi pingat emas apabila berjaya menguasai acara kegemarannya, keirin disusuli pula pasangan boling lelaki Alex Liew dan Andrian Ang yang meraih emas ketiga negara.

Seperti yang dijangka, acara skuasy tidak menghampakan apabila ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David turut mengekalkan rekod emasnya sebelum ini, dan seorang lagi jaguh skuasy Asia, Mohd Azlan Iskandar turut menjulang nama Malaysia.

Nama Alex Liew sekali lagi menjadi perhatian apabila berjaya menyumbangkan pingat emas keenam untuk Malaysia dalam acara boling all-event lelaki yang berlangsung Isnin.

Dengan itu, kontinjen negara masih lagi kekurangan tiga emas untuk mencapai sasaran dan impian mungkin akan terlaksa memandangkan banyak lagi aksi atlet Malaysia setakat ini.

Pastinya acara boling masih diharap untuk mendapatkan emas, begitu juga dengan acara berpasukan skuasy yang kini sedang sedang berlangsung.

Dalam satu kenyataan Ahad lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut optimis sasaran akan dicapai menjelang tamatnya temasya pada 27 November ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gallas Kapten Baru Spurs

Artikel Lain