suria

Sukan Asia: Chong Wei Gagal Tembusi Tembok China

GUANGZHOU: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei gagal mengakhiri kemarau 40 tahun pingat emas acara perseorangan pada temasya Sukan Asia apabila tewas kepada pemain tuan rumah Lin Dan pada perlawanan akhir, Ahad.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan juara All-England, tumpas 13-21, 21-15, 10-21.

Lin Dan, juara Sukan Olimpik Beijing, mengambil masa 72 minit untuk merangkul emas manakala Chong Wei terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Pemain China Chen Jin dan Park Sunghwan dari Korea Selatan menerima pingat gangsa, selaku layak ke separuh akhir.

Malaysia kali terakhir memenangi pingat emas acara itu ialah pada Sukan Asia 1970 di Bangkok menerusi Datuk Punch Gunalan. Bagaimanapun, Chong Wei memulakan cabaran dengan penuh yakin pada set pertama tetapi mula melakukan kesilapan untuk tewas 13-21.

Dalam set kedua, Chong Wei nampak lebih bertenang dan mendahului 13-7 sebelum membenarkan Lin Dan mengejar enam mata berturut-turut.

Bagaimanapun, Chong Wei mendapatkan semula rentaknya untuk menyamakan kedudukan dengan memenangi set kedua 21-13 untuk memaksa perlawanan itu ditentukan dalam set penentuan.

Berbekalkan semangat beraksi di hadapan penonton tuan rumah, Lin Dan mula menonjolkan ketangkasannya dengan mendahului 11-1 sebelum menamatkan saingan dengan mata 21-10.

Selepas perlawanan itu, Chong Wei berkata beliau amat letih selepas menentang Chen Jin pada perlawanan separuh akhir semalam.

"Ini mungkin Sukan Asia terakhir bagi diri saya dan sudah tiba masa untuk memberi peluang kepada pemain muda," katanya.

Pertemuan Lin Dan dan Chong Wei adalah kali ketiga tahun ini selepas pemain China itu menungguli perlawanan separuh akhir Piala Thomas manakala Chong Wei memenangi Terbuka Jepun. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Sunderland, Everton Seri 2-2

Artikel Lain