Saingan Sukan Paralimpiad Ke-15 Bermula

Diterbitkan: Isnin, 22 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Sukan Paralimpiad Ke-15 bermula dengan acara pembukaan gilang gemilang di Stadium Hang Jebat di sini, Ahad.

Sukan dwitahunan yang mempertandingkan 16 acara disertai seramai 1,415 atlet Orang Kurang Upaya (OKU) dan 511 pegawai dalam kejohanan enam hari itu.

Acara sukan tersebut ialah Badminton, Basikal, Boccia, Bola Keranjang Kerusi Roda, Boling Padang, Catur, Futsal, Goalball, Olahraga, Perahu Layar, Petanque, Ping Pong, Powerlifting, Renang, Tenis Kerusi Roda dan Tenpin Bowling.

Kejohanan itu menawarkan 1,750 pingat, daripada jumlah itu sebanyak 571 pingat emas, perak (571) dan gangsa (608) yang akan dilangsungkan di 16 venue.

Daripada 1,415 atlet OKU itu, seramai 208 merupakan OKU berkerusi roda, cacat anggota (361), lumpuh (24), cacat penglihatan (290), spastik (104), terencat akal (250), pendengaran (143) dan kerdil (35).

Upacara pembukaan itu diserikan dengan persembahan kebudayaan dan bunga api selain perarakan 15 kontinjen peserta. Kejohanan bertemakan "Mengharungi cabaran, menyemai harapan" merupakan anjuran bersama kerajaan Melaka dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Jun lepas, Melaka menjadi tuan rumah kepada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam ucapan perasmian pada majlis itu, berkata KBS sedang membina pusat kecemerlangan sukan paralimpik di Kompleks Sukan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Beliau berkata kompleks melibatkan kos kira-kira RM50 juta yang dijangka siap Nov tahun depan, akan menyediakan kemudahan latihan prestasi tinggi yang mesra dan khusus kepada atlet OKU.

"Ini membuktikan kerajaan Malaysia sebuah kerajaan yang prihatin dengan keupayaan atlet paralimpik," katanya.

Antara kemudahan di kompleks itu ialah blok asrama, kolam renang, gelanggang bola keranjang, gelanggang badminton, gelanggang serbaguna dan lapangan memanah.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berharap kejohanan itu membuka minda masyarakat terhadap sumbangan golongan OKU sama seperti insan lain. "Masyarakat wajar mengiktiraf keupayaan dan pencapaian mereka serta jangan sekali-kali meminggirkan peranan mereka daripada arus pembangunan dan agenda negara," katanya. Beliau berkata masyarakat sewajarnya meneladani atlet OKU yang mempunyai tahap komitmen dan keazaman yang tinggi untuk mengatasi segala kelemahan dan rintangan demi mencapai kegemilangan, kecemerlangan dan kejayaan.

Katanya kerajaan Melaka sentiasa memberi sokongan dan galakan sepenuhnya kepada sukan yang melibatkan OKU. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan