GLC dan Swasta Diminta Jadikan Jaguh Sukan Negara Sebagai Ikon Syarikat

Diterbitkan: Isnin, 22 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan meminta lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta melantik atlet negara yang cemerlang di peringkat antarabangsa sebagai ikon syarikat mereka.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata seseorang atlet yang cemerlang itu akan menjadi tarikan utama untuk menonjolkan syarikat tersebut.

"Kita merayu syarikat swasta agar menjadikan imej atau watak-watak jaguh sukan sebagai model atau ikon untuk menonjolkan jenama produk mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat atlet wushu negara Chai Fong Ying, 24, yang menyumbang pingat emas pertama kontinjen negara di Sukan Asia di Guangzhou, di rumahnya di Taman Tamby Chik, Batu Berendam di sini, Ahad.

Ahmad Shabery berkata, dengan lebih banyak GLC dan syarikat swasta membuat penajaan, ia akan membantu menampung pembiayaan besar atlet negara dalam usaha mempertingkat prestasi masing-masing.

"Kerajaan sudah ada skim hadiah kemenangan sebagai dorongan untuk atlet meraih kejayaan seperti Sukan Asia dapat pingat emas hadiahnya RM80,000, perak RM40,000, gangsa RM20,000 dan hadiah-hadiah lain," katanya.

Ditanya peluang kontinjen negara mencapai sasaran sembilan pingat emas di Sukan Asia yang sedang berlangsung, Ahmad Shabery berkata walaupun nampak sukar tetapi beliau optimis sasaran itu akan dicapai.

Setakat ini Malaysia memperolehi lima pingat emas dan Ahmad Shabery menyandarkan kepada acara skuasy, boling dan badminton bagi mencapai sasaran itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan