suria

Sukan Asia: Malaysia Dahului Negara Asean Dalam Pungutan Pingat

GUANGZHOU: Setelah lapan hari berlangsungnya Sukan Asia Ke-16, Malaysia menduduki tangga teratas dalam kalangan negara anggota Asean berikutan kejayaannya memenangi tiga pingat emas.

Dengan tinggal tujuh hari lagi atau separuh daripada keseluruhan acara yang akan dipertandingkan sebelum temasya sukan ini menutup tirainya pada 27 Nov, Malaysia setakat ini meraih tiga pingat emas, tiga perak dan empat gangsa untuk menduduki tempat ke-10 keseluruhan.

Tempat kedua dalam kalangan negara anggota Asean menjadi milik Indonesia (tempat ke-12 keseluruhan) dengan dua pingat emas, empat perak dan 10 gangsa, diikuti Filipina di tempat ke-14 keseluruhan (2, 1, 5), Thailand di tempat ke-15 keseluruhan (1, 4, 13), Singapura di tangga ke-16 (1, 4, 2), Vietnam di tempat ke-20 (0, 11, 11), Myanmar satu tangga di bawahnya (0, 4, 1) dan Laos di tangga ke-26 (0,0,2).

Dua lagi negara anggota Asean iaitu Brunei dan Kemboja belum memenangi sebarang pingat. Setakat semalam, 19 negara memenangi 239 pingat emas daripada keseluruhan 476 pingat yang ditawarkan.

Tuan rumah, China, terus mendahului kedudukan dengan meraih 126 pingat emas, diikuti Korea Selatan (43) dan Jepun (25). Atlet Malaysia yang memenangi pingat:

Emas - Chai Foong Ying (wushu), Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Alex Liew dan Andrian Ang (boling),

Perak: Ibrahim Amir (sukan biliard), Josiah Ang (berbasikal), Quzandria Nur Mahamd Fathil (ekuestrian).

Gangsa: Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Mohd Qabil Ambak, Quzandria Nur, Putri Alia Soraya Ahmad Shuhaimi, Diani Lee Cheng Ni (ekuestrian), Tai Cheau Xuen (wushu) dan Mohd Qabil Ambak (ekuestrian).-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain