suria

Paralimpiad: Emas Pertama Milik Pasukan Johor

MELAKA: Pasukan Johor meraih emas pertama Sukan Paralimpiad Ke-15 di Melaka melalui acara berbasikal kategori ITT Tandem (Terbuka), Ahad.

Johor melalui Saiful Izuan Rostam mencatat masa 24 minit 34.21 saat menewaskan rakan sepasukanya Mohd Norhafizan Ahmad Jais yang memperoleh pingat perak dengan masa 25 minit 18.72 saat.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini, Mohd Razif Md Salleh yang mewakili Kuala Lumpur memperoleh pingat gangsa dengan masa 26 minit 36.56 saat.

Saiful Izuan, 30, yang mengalami kecacatan buta keseluruhan (B1) berkata beliau berbangga dapat menghadiahkan pingat emas pertama kejohanan itu kepada pasukan Johor, pada perlumbaan sebanyak empat pusingan sejauh 17.6 km itu.

"Kesemua baik hari ini, basikal saya berfungsi sempurna dan saya amat berterima kasih kepada "guide" (pemandu basikal) saya yang tolong saya menang pingat emas ini," katanya.

Saiful Izuan, yang kurang berpuas hati dengan aksinya hari ini kerana hanya mencatat kelajuan tertinggi 42 km/sejam berbanding ketika sesi latihan antara 45 dan 46 km/j, berazam melakukan yang lebih baik dalam acara kegemarannya 60 km Lebuh Raya Tandem (Terbuka) esok.

Saiful Izuan, mengalami kecacatan itu setelah terlibat dalam kemalangan di tempat kerja ketika berusia 21 tahun, akan mewakili Malaysia ke Sukan Para Asia Ke-10 di Guangzhou, China bulan depan.

Pada kejohanan itu, beliau akan menyertai tiga kategori acara berbasikal iaitu 80 km lebuh raya, 25 km ujian masa dan kategori trek.

Pegawai Pengurus Kontinjen Johor, Wan Nurul Fhatihiyah Wan Sulaiman berkata pasukan itu sememangnya mensasarkan pingat emas menerusi acara itu.

Acara berbasikal akan diteruskan pukul 9 pagi esok dengan acara terakhir Lebuh Raya Tandem (Terbuka) 60 km menawarkan sebutir lagi pingat emas.

Sukan Paralimpiad kali ini menawarkan 1,750 pingat, yang daripada jumlah itu 571 adalah pingat emas, perak (571) dan gangsa (608), dengan acara-acara dilangsungkan di 16 venue.

Kejohanan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) itu berlangsung selama enam hari bermula hari ini, akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Stadium Hang Jebat di sini, malam ini.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain