suria

Skuad Renang Terus Hambar Di Hari Terakhir Acara Renang Sukan Asia

GUANGZHOU: Acara renang di Sukan Asia yang menutup tirainya di Pusat Akuatik Aoti Khamis menyaksikan skuad renang negara terus mempamerkan prestasi hambar. Tiada rekod kebangsaan berjaya diperbaharui pada hari terakhir acara renang Sukan Asia ke-16 itu.

Hanya Kevin Yeap yang turun ke kolam renang dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki pada acara akhir yang berlangsung malam Khamis.

Kevin menamatkan perlumbaan di tempat keenam dengan catatan masa 15 minit 53.34 saat.

Catatan masa yang dilakukannya itu masih jauh daripada rekod kebangsaan iaitu 15:23.61s yang dipegang bekas jaguh renang negara Jeffrey Ong sejak 1991.

Acara itu dimenangi perenang tuan rumah, Yang Sun yang mencatat masa 14:35.43s, sekaligus mencipta rekod baru Asia yang dipegang rakan senegara, Zhang Liu iaitu 14:45.84s ketika beraksi di Sukan Olimpik Beijing dua tahun lepas.

Terdahulu pada peringkat saringan di sebelah pagi, semua perenang negara gagal mempamer aksi memberangsangkan bermula dengan kegagalan Ian James Barr dalam acara 50m kuak lentang lelaki.

Ian sekadar menamatkan saingan dengan catatan masa 27.46s, jauh daripada rekod kebangsaan 25.67s milik Lim Keng Liat yang dicatat di Sukan Komanwel Manchester pada tahun 2002.

Sementara, Yap See Tuan juga gagal menunjukkan impak dalam acara 200m kuak dada lelaki apabila sekadar mencatat masa 2:19.77s berbanding rekod kebangsaan yang dipegang oleh Elvin Chia, 2:15.62 yang dibuat pada 1999.

Dalam satu lagi acara yang dipertandingkan hari ini, kuartet 4x100m rampaian lelaki negara yang diwakili Ian, See Tuan, Daniel Bego dan Foo Jian Beng sekadar mencatat masa 3:49.82s berbanding rekod kebangsaan 3:45.61s.

Tumpuan di Pusat Akuatik Aoti selepas ini beralih kepada acara terjun yang akan membuka tirainya Isnin ini dengan fokus pastinya kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Pandelela Rinong serta Leong Mun Yee, Yeoh Ken Nee dan Bryan Nickson Lomas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain