suria

Pusingan Akhir Sepang Drag Battle Lebih Sengit

SHEIKH Mohd Salimee Mohd Fawzi yang memandu Nissan Skyline perlu berada pada prestasi terbaik menjelang pusingan akhir Sepang Drag Battle 2010 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Sabtu meskipun berkelebihan dua mata dalam usaha merangkul kejuaraan pertamanya.

Salimee yang menduduki kedudukan teratas kejuaraan selepas meraih kemenangan kedua pada pusingan keempat, bulan lalu mengutip 10 mata manakala pencabar terdekatnya, Tan Chun Li dengan lapan mata dalam Kelas A.

Suzaini Ahmad yang memandu jentera Daihatsu Mirage berada di tempat ketiga dengan lima mata.

"Berbekalkan lima mata dengan satu kemenangan dan tiga perlumbaan di tempat kedua, buruan gelaran juara masih lagi terbuka. Peminat bakal menyaksikan saingan sengit pada Sabtu," kata penyelaras Sepang Drag Battle 2010, Erza Anas.

Ketika pendaftaran dan pemeriksaan akan bermula seawal jam 5 petang, perlumbaan sebenar dijadualkan bermula pada 8.30 malam selepas sesi latihan bebas.

Sesi kelayakan akan bermula sejam kemudian dan perlumbaan itu akan berlangsung sehingga larut malam.

Saingan lebih sengit dijangka dalam Kelas B di mana juara kategori itu, Mohd Amirullah Mohd Ali dan Mohd Ainul Azri dipisahkan dengan satu mata.

Amirullah yang menduduki tempat kedua pada Pusingan Keempat mengumpul 13 mata manakala pencabarnya, 12 mata.

Gelaran juara keseluruhan akan menjadi rebutan antara Amirullah dan Ainul memandangkan penghuni tempat ketiga, Mohd Syukri Mohd Nor hanya memiliki empat mata.

Bagi Kelas C, Ahmad Firdaus Azman dan Mohd Maziz Abdullah akan bersaing sesama sendiri dengan satu mata memisahkan mereka selepas empat pusingan.

Maziz memberi tentangan sengit kepada Firdaus selepas menguasai Pusingan Keempat dengan mata 11 mata keseluruhan. Firdaus - juara Pusingan Kedua dan penghuni tempat kedua untuk Pusingan Pertama dan Ketiga beraksi hambar pada Pusingan Keempat selepas tewas kepada Ikmy Adwan Jamuri di suku akhir.

Kemenangan Pusingan Keempat meletakkan Khairul Anwar Ahmad di kedudukan terbaik untuk memenangi Kelas G selepas ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Khairul Anuar Puteh Abdullah.

Meskipun juara keseluruhan Kelas F untuk jentera bukan V-Tec 2010 sudah diketahui iaitu Shahrulnizam Mohd Sain, persaingan masih lagi terbuka.

Berbekalkan 12 mata dengan kemenangan pada Pusingan Pertama dan Ketiga, Shahrulnizam kini mendahului dengan 16 mata.

Persaingan tiga penjuru akan berlaku di antara Mohd Iqram Ismail Tajinder, Mohd Hanapi Ismail dan Nor Faizun Nasri bagi Kelas V-Tec.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain