suria

Sukan Asia: M'sia Tetap Berhati-Hati Hadapi Korea Selatan Dalam Acara Sepaktakraw

GUANGZHOU: Malaysia menjuarai Kumpulan B setelah menewaskan India 3-0, sekali gus akan bertemu naib juara Kumpulan A, Korea Selatan pada perlawanan separuh akhir Sepaktakraw Berpasukan Sukan Asia ke-16 Jumaat.

Jurulatih negara Iskandar Arshad berkata pertemuan dengan Korea Selatan di Pusat Sukan Haizhu, di sini itu bukanlah mudah kerana skuad negara pernah dimalukan dengan kekalahan 1-2 semasa Kejohanan Dunia Sepaktakraw Piala Raja Thai, di Chiang Mai pada Julai lepas.

"Malaysia kemudian membalasnya dengan kemenangan 3-0 pada Kejohanan Sepaktakraw Jemputan di negara tersebut. Tetapi kedua-dua pertemuan dengan Korea Selatan itu dalam acara Antara Regu.

"Esok, perlawanan adalah bagi acara berpasukan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Iskandar berkata tiada strategi khusus diatur untuk menghadapi Korea Selatan.

Ditanya sama ada beliau akan memecah regu-regu yang ada sekarang, Iskandar berkata pemain-pemain tersebut telah bersama dengan regu masing-masing sejak lapan bulan lepas dan saling memahami permainan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya pilihan regu yang akan diturunkan perlu dikaji kerana kemenangan mereka akan menaikkan semangat rakan sepasukan.

Pada perlawanan lain Khamis, Thailand muncul juara Kumpulan A dengan menumpaskan Korea Selatan 3-0 dan akan bertemu naib juara Kumpulan B, Jepun yang menewaskan China 3-0.

Pada perlawanan hari ini, Malaysia yang menewaskan India 3-0, menurunkan Noor Azman Abdul Hamid, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam sebagai regu pertama yang menewaskan regu India (Tochom Dharmendra Singh, Hirom Kiran Kumar Singh, Chabungbam Biken Singh) 21-11, 21-11.

Regu kedua Malaysia, Mohd Normanizam Ahmad, Ariff Ramli dan Mohd Futra Abd Ghani memberi mata kedua dengan menewaskan trio Khanggembam Niken Singh, Moirang Them Nanao Singh dan Jiteshor Sharma Gurumayum 21-12, 21-12 sebelum regu ketiga Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif dan Mohd Hafizie Manap menjinakkan Lalhlimpuia, Sandeep Kumar dan Taiyenjam Gopen Singh 21-6, 21-9.

Kali terakhir skuad sepaktakraw negara memenangi pingat emas pada Sukan Asia adalah di Hiroshima, Jepun pada 1994. - BERNAMA

Artikel Lain