suria

Shahrom Sasar Tempat Di Kejohanan Duathlon Dunia Di Switzerland

KUALA LUMPUR: Atlet duathlon Shahrom Abdullah yakin dapat memberi persembahan mantap pada Powerman Filipina Duathlon Terbuka di Subic Bay Freeport, Filipina pada Sabtu dan Ahad ini bagi melayakkannya menyertai Kejohanan Dunia di Zofingen, Switzerland pada September tahun depan. Shahrom, 31, berkata beliau kini berada dalam tahap kecergasan dan prestasi yang terbaik selepas kejohanan Powerman Malaysia pada Ahad lepas.

"Selain itu, saya perlu membuat sedikit percaturan taktikal dalam bahagian larian dan kayuhan kerana atlet tuan rumah, Carlo Pedregrosa merupakan pesaing terdekat yang perlu saya hadapi," katanya.

Pada Kejohanan Malakoff Powerman Malaysia di Seri Manjung Ahad lepas, Shahrom mencatat masa 3:02:20 untuk menduduki tempat keenam di belakang Pedregrosa yang menduduki tempat kelima dengan catatan masa 3:01:10.

Shahrom, yang juga bekas pelumba basikal kebangsaan, berkata Pedregrosa akan mendapat kelebihan dalam Power Filipina berada beraksi di tempat sendiri.

Duathlon merupakan sukan lasak melibatkan larian 5km diikuti kayuhan basikal sejauh 20km dan larian 2.5km. - BERNAMA

Artikel Lain