suria

Quzandria, Mohd Qabil Masing-Masing Capai Perak Dan Gangsa

GUANGZHOU: Penunggang handalan negara Quzandria Nur Mahamad Fathil dan abangnya Mohd Qabil Ambak masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa dalam acara dressage individu pada Sukan Asia ke-16 di sini, Rabu.

Kejayaan Quzandria Nur itu merupakan kali pertama beliau mengatasi abangnya dalam mana-mana pertandingan dressage yang disertainya sebelum ini.

"Kami berdua sentiasa bersaing dalam sebarang pertandingan. Dia merupakan ujian paling getir bagi diri saya dan bangga dapat mengatasinya kali ini.

"Walaupun saya mensasarkan emas tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Pingat perak juga sudah cukup bermakna," katanya.

Quzandria Nur, yang menunggang kuda bernama 'Handsome', berjaya mengumpul 71.558 mata untuk pingat perak manakala Mohd Qabil memperoleh 71.195 mata untuk gangsa.

Emas disandang oleh penunggang Korea Selatan, Hwang Young Shik, dengan mengumpul 73.134 mata selepas menunggang kuda bernama 'Laura'.

"Sebenarnya, saya agak kecewa sedikit. Saya menampilkan persembahan yang agak sukar berbanding pemenang emas itu. Pergerakan rutin amat sukar di mana peserta lain biasa tidak melakukannya.

"Saya terpaksa meluahkan perasaan ini kerana salah seorang hakim adalah warga Korea dan kelebihan diberikan kepada peserta negaranya. Bagaimanapun, saya akui dressage merupakan sukan subjektif," kata Quzandria Nur.

Beliau juga bangga dengan persembahan kudanya, Handsome sejak bermula acara berpasukan Ahad lalu dan acara individu sejak Isnin.

"Jurulatih saya banyak membantu untuk Sukan Asia ini," kata Quzandria Nur yang berlatih di Denmark di bawah bimbingan Andreas Helgstrand.

Mengulas pencapaian Quzandria Nur, Mohd Qabil berkata dia wajar meraih pencapaian itu serta bangga dan mengucapkan tahniah kepada adiknya.

Mohd Qabil, yang beraksi kali keempat pada temasya sukan itu, berkata beliau hanya berlatih bersama kudanya bernama 'Wup' selama dua bulan di Belanda sebelum sukan itu.

Pada temasya Sukan Asia Doha 2006, beliau turut merangkul gangsa dalam acara itu.

Mohd Qabil dan Quzandria Nur juga berganding dengan Putri Alia Soraya Ahmad Shuhaimi dan Diani Lee Cheng Ni untuk meraih gangsa dalam acara dressage berpasukan Ahad lalu. - BERNAMA

Artikel Lain