suria

Gol Saat Akhir Messi Julang Argentina

LIONEL Messi (gambar) menjaringkan gol pada saat akhir untuk membantu Argentina menewaskan musuh dari benua Amerika Selatan, Brazil 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Qatar, awal pagi tadi.

Perlawanan yang pada mulanya kelihatan akan berakhir seri tanpa jaringan berubah selepas penyerang Barcelona itu menerima hantaran dari penyerang Napoli, Ezequiel Lavezzi sebelum meluru pantas ke gawang Brazil.

Gol ke-15 Messi untuk Argentina dalam penampilan kali ke-53 memberikan kemenangan pertama buat negaranya ke atas Brazil dalam enam pertemuan.

Kali terakhir mereka menewaskan Brazil ialah pada Jun 2005.

Selepas 90 pertemuan, Argentina mencatat kemenangan ke-34 ke atas musuh tradisi, Brazil.

Ia adalah kemenangan pertama Messi ke atas Brazil dengan menyarung jersi Argentina.

Perlawanan itu disaksikan seramai 40,000 peminat termasuk lagenda Perancis, Zinedine Zidane dan pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson yang hadir menyokong bidaan Qatar untuk menganjurkan Piala Dunia pada 2022.

Brazil nyaris berada di depan seawal minit ke-18 menerusi Dani Alves tetapi percubaannya terkena palang.

BARISAN PEMAIN

Brazil: Victor, Dani Alves, Thiago Silva, David Luiz, André Santos; Lucas, Ramires, Elias; Ronaldinho, Neymar, Robinho.

Argentina: Romero, Zanetti, Pareja, Burdisso, Heinze; Banega, Mascherano, Pastore, Messi; Higuaín, Di María.

Artikel Lain