suria

Sukan Paralimpiad Ke-15 Bermula Ahad Ini

MELAKA: Sukan Paralimpiad Ke-15 Melaka untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bermula Ahad ini selama enam hari yang akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Stadium Hang Jebat.

Sukan dwitahunan yang mempertandingkan 16 jenis sukan antaranya olahraga, badminton, angkat berat dan perahu layar dijangka disertai seramai 1,415 atlet dan 511 pegawai dalam kejohanan itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kos penganjuran kejohanan sebanyak RM3 juta dikongsi bersama oleh kerajaan negeri Melaka dan Kementerian Belia dan Sukan yang masing-masing menyediakan RM1.5 juta.

"Upacara penutup sukan ini akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada 26 November ini jam 9 malam di stadium yang sama," kataya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada majlis penyerahan penajaan dan sumbangan kejohanan itu di Seri Negeri di sini, Isnin.

Kejohanan itu menawarkan 1,750 pingat, daripada jumlah itu sebanyak 571 pingat emas, perak (571) dan gangsa (608) yang akan dilangsungkan di 16 venue.

Beliau berkata daripada 1,415 atlet OKU itu seramai 208 merupakan OKU berkerusi roda, cacat anggota (361), lumpuh (24), cacat penglihatan (290), spastik (104), terencat akal (250), pendengaran (143) dan kerdil (35).

Pada majlis itu, Mohd Ali menerima sumbangan wang tunai RM10,000 dan empat buah motosikal sumbangan Syarikat Bumi Kita dari Sarawak yang disampaikan oleh Pengarah Urusan syarikat itu Datuk Paruwadi Musa. Sementara itu, Pengerusi Penajaan kejohanan itu, Datuk Latiff Tamby Chik berkata mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi penaja kejohanan itu boleh menghubungi Melaka One Number Call Center di talian 06-2333333 dan berurusan dengan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Norliza Yusoff.

"Kerajaan negeri berharap lebih ramai lagi pihak yang tampil sebagai penaja untuk menjayakan kejohanan ini," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka.-BERNAMA

Artikel Berikut

Ancelotti Kecewa

Artikel Lain