suria

Empat Pelumba Cuba Nasib Dalam Peringkat Akhir Basikal Esok

GUANGZHOU: Empat pelumba negara menampilkan persembahan cemerlang dalam acara masing-masing sebelum berjaya menempah tiket pada saingan akhir di Sukan Asia ke-16 di Velodrom Guangzhou di sini, Selasa.

Mengetuai cabaran negara ialah pelumba sensasi Mohd Azizulhasni Awang, yang akan bersaing dalam dua acara iaitu acara 200m pecut individu dan acara keirin bersama Josiah Ng.

Dalam acara pecut 200m, Mohd Aziziulhasni akan menentang pelumba Jepun Nitta Yudai bagi menentukan pingat gangsa.

Dalam saingan separuh akhir hari ini, Mohd Azizulhasni tewas kepada seorang lagi pelumba Jepun Kitatsuru Tsubasa dalam saingan tiga pusingan.

Manakala dalam acara keirin, beliau menduduki tempat ketiga di belakang Josiah dan kedua-dua pelumba negara itu layak ke saingan akhir esok.

Mohd Azizulhasni mengakui bahawa beliau seharusnya bersaing untuk pingat emas atau perak dalam acara 200m pecut sekiranya mendapat rehat yang secukupnya.

"Pihak penganjur mahu menghimpunkan banyak acara final esok," katanya.

Katanya beliau akan berbincang dengan jurulatih John Beasley mengenai strategi untuk saingan akhir esok dan membayangkan beliau atau Josiah terpaksa melakukan pengorbanan dalam acara keirin.

Dalam pada itu, Amir Mustafa Rusli dan Muhamad Adiq Husainie Othman mengesahkan tempat ke peringkat akhir selepas muncul 12 pelumba terbaik dalam saringan acara perlumbaan mata merangkumi 60 pusingan atau 15km.

Pada saringan pertama, Amir Mustafa menduduki tangga kedua di belakang pendahulu Jang Sunjae dari Korea Selatan manakala dalam saringan lain pula, Muhamad Adiq mendapat tempat keempat. -BERNAMA

Artikel Berikut

Ancelotti Kecewa

Artikel Lain