suria

Sukan Asia: Malaysia Rangkul Dua Gangsa Pada Hari Pertama

GUANGZHOU: Dua pingat gangsa yang dipungut pada hari pertama temasya Sukan Asia ke-16 yang secara rasmi bermula Sabtu, membawa sedikit keceriaan kepada kem Malaysia.

Sehingga malam ini, Malaysia berada di tempat ke-13 dalam senarai keseluruhan pungutan pingat di kalangan negara yang mengambil bahagian.

Tuan rumah China menduduki tangga teratas dengan mengutip 19 emas, tujuh perak dan dua gangsa, diikuti Jepun jauh di belakang dengan 4 emas, 10 perak dan 9 gangsa sementara Korea Selatan di tempat ketiga (4, 3, 8).

Selepas Ang Eng Chong terlepas peluang pada sebelah pagi untuk mengukir nama sebagai penyumbang pingat pertama negara apabila sekadar menduduki tempat ke enam dalam acara Wushu, penembak kebangsaan Nur Suryani Mohd Taibi menyumbangkan gangsa, pingat pertama Malaysia pada temasya ini.

Acara menembak sebelum ini tidak diberikan sebarang harapan untuk meraih pingat di Guangzhou tetapi Nur Suryani berjaya mengumpul 501.8 mata dari acara 10m Air Rifle Individu untuk menduduki tempat ketiga.

Pingat emas acara itu dimenangi pemegang rekod dunia Yi Siling dari China dengan mengumpul 504.9 mata, manakala pingat perak turut menjadi milik penembak tuan rumah, Wu Liuxi dengan 502.8 mata.

Acara lain di sebelah pagi yang turut menjanjikan pingat kepada Malaysia tetapi tidak menjadi kenyataan apabila pelumba berbasikal trek wanita Fatehah Mustafa sekadar menduduki tempat keempat dalam acara 500m Ujian Masa.

Di sebelah petang, skuad wushu menebus kehampaan bila Tai Cheau Xuen meraih gangsa dengan mengumpul 18.86 mata dari acara gandingan Nandao dan Nanquan wanita.

Atlet tuan rumah Lin Fan memenangi pingat emas selepas mengumpul 19.80 mata manakala atlet Indonesia Irmanto Ivana Ardelia memperolehi pingat perak dengan 18.92 mata.

Seorang lagi atlet Malaysia yang diharapkan meraih pingat dalam acara ini, Diana Bong Siong Lin bagaimanapun terpaksa berpuas hati menduduki tempat kelima dengan 18.46 mata.

Di kolam renang, perenang negara Daniel Bego gagal membuat impak di Pusat Akuatik Aoti selepas menduduki tempat ketujuh dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu lelaki.

Dalam acara peringkat akhir itu, Daniel mencatat 2 minit 01.52 saat iaitu 10.71 saat ketinggalan berbanding masa yang dicatat pemenang pingat emas dari Jepun, Takeshi Matsuda.

Kuartet acara akhir 4x100m rampaian wanita, Chan Kah Yan, Christina Loh, Khoo Cai Lin dan Chui Lai Kwan juga sekadar menduduki tempat ketujuh dengan catatan 4:23.57s.

Kejutan terbesar hari ini ialah apabila skuad badminton lelaki negara tumpas 2-3 kepada Thailand, sekaligus terkeluar dari saingan acara berpasukan lelaki. Kekalahan itu bermakna pasukan negara gagal mempertahankan pingat gangsa yang dipungut mereka di Doha empat tahun lalu.

Acara bola sepak terus mencuri tumpuan bila skuad bimbingan K.Rajagobal biarpun tewas 0-3 kepada tuan rumah China di Stadium Bola Sepak Tianhe untuk melengkapkan jadual saingan Kumpulan A, namun berjaya melangkah ke pusingan kedua.

Berada di tempat ketiga di belakang Jepun dan China, Malaysia mendapat satu tiket ke pusingan kedua kerana berada di kedudukan terbaik antara empat pasukan yang menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A, B, C dan D. Esok, hari kedua temasya, menawarkan keseluruhan 24 pingat emas.

Renang dan menembak, masing-masing menawarkan enam pingat emas, diikuti berbasikal trek (3), sukan biliard (3), angkat berat (2), wushu (2), triathlon (1), gimnastik artistik (1) dan ekuestrian (1). Kuartet negara, Khoo Cai Lin, Erika Kong, Chui Lai Kwan, Chan Kah Yan akan beraksi dalam acara renang 4x100 gaya bebas wanita akhir.

Sementara itu, pelumba berbasikal trek, Muhamad Edrus Md Yunos, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin akan bersaing dengan pelumba Iran bagi penentuan pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan.

Pelumba berbasikal trek sensasi negara Mohd Azizulhasni Awang juga akan berkasi dalam acara kegemarannya iaitu acara pecut individu 200m sementara Diani Lee Cheng Ni, Puteri Alia Soraya, Md Qabil Ambak dan Quzandria Nur akan beraksi dalam acara akhir Dressage berpasukan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain