suria

Malaysia Raih Satu Gangsa Pada Hari Kedua Sukan Asia Ke-16

GUANGZHOU: Malaysia masih tercari-cari emas pertama selepas hanya beroleh satu gangsa pada hari kedua temasya Sukan Asia ke-16 yang bermula Sabtu lepas dan akan memasuki hari ketiga, Isnin.

Satu gangsa, pada Ahad, disumbangkan oleh pasukan Dressage Berpasukan Campuran dianggotai Diani Lee Cheng Ni, Puteri Alia Soraya Ahmad Suhaimi, Md Qabil Ambak Mahamad Fathil dan Quzandria Nur Mahamad Fathil yang memperoleh jumlah mata terkumpul 65.111.

Acara tersebut dimenangi pasukan Korea Selatan yang mendapat 65.759 mata dan pingat perak milik China yang mengumpul 65.593 mata.

Sabtu lalu, Malaysia memungut dua gangsa masing-masing menerusi Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak) dan Tai Cheau Xuen (wushu).

Pelumba trek sensasi Mohd Azizulhasni Awang menduduki tempat ketiga dalam acara pecut 200 meter individu lelaki selepas mencatat 10.361 saat di belakang pelumba Jepun Kitatsuru Tsubasa (10.297s), dan pendahulu dari China, Zhang Wei (10.140).

Mohd Azizulhasni, yang dikenali sebagai `thepocketrocketman' itu akan beraksi dalam acara akhir esok, sementara seorang lagi pelumba Malaysia, Muhamad Edrus Md Yunos yang menduduki tempat ketujuh dalam acara sama, akan beraksi di pusingan repechage bagi penentuan tempat kesembilan hingga 12.

Selepas tamat semua acara hari ini, kontinjen Malaysia menduduki tangga ke-16 dalam kutipan pingat keseluruhan.

Tuan rumah, China menduduki carta teratas dengan kutipan 37 emas, 14 perak dan 12 gangsa diikuti Korea Selatan (13, 10, 12) dan Jepun (8, 20, 15).

Esok, hari ketiga temasya menawarkan 23 pingat emas.

Jumlah emas terbanyak datangnya dari acara renang (7) diikuti menembak (6), badminton (2), billiard (2), gimnastik artistik (2), angkat berat (2) dan wushu (2). Tumpuan tentunya terhadap acara di kolam renang ketika perenang kebangsaan, di antaranya Daniel Bego, Khoo Chai Lin dan Ian James Barr diharap menamatkan kemarau emas.

Begitu juga di lapang sasar ketika Muhamad Shahril Sahak, Muhd Nurrahimin Abdul Halim, Hisham Adzha beraksi di peringkat akhir acara 50 meter Rifle Prone Lelaki, sementara Nur Suryani Mohamed Taibi, Mariani Rafali dan Shahera Rahim Raja akan bersaing pada acara akhir 50 meter Rifle Prone Wanita.

Kontinjen negara juga mengharapkan atlet wushu negara, Chai Fong Yin/Ng Shin Yii, kedua-duanya beraksi dalam acara akhir Taolu Taijijian dan Taolu Taijiquan, mampu menjelmakan emas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain