suria

Sukan Asia: Nur Suryani Raih Pingat Pertama Malaysia

GUANGZHOU: Selepas cemerlang di temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India bulan lepas, penembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi membawa aura keceriaan itu ke temasya Sukan Asia Guangzhou pula.

Walaupun tidak membawa pulang pingat emas, beliau sudah cukup gembira apabila dapat meraih pingat gangsa acara 10m Air Rifle individu wanita.

"Saya tidak memikirkan untuk memenangi sebarang pingat di sini. Apa yang saya fikirkan sebelum memulakan saingan ialah untuk memperbaiki rekod peribadi saya sahaja.

"Kejayaan di pusingan akhir ini saya rasa macam hendak membalas dendam juga sebab masa di Sukan Komanwel, bidikan saya tidak begitu menjadi pada pertandingan akhir," katanya ketika ditemui selepas menamatkan saingan beliau di Lapang Sasar Aoti di sini, Sabtu.

Pada pertandingan akhir itu, bidikan Nur Suryani mengumpul 501.8 mata untuk meraih pingat gangsa.

Pingat emas acara itu dimenangi pemegang rekod dunia Yi Siling dari China dengan mengumpul 504.9 mata, manakala pingat perak turut menjadi milik penembak tuan rumah, Wu Liuxi dengan 502.8 mata.

Bagaimanapun, pada penampilan di Sukan Asia ini, Yi gagal memperbaiki atau menyamai rekod dunia yang menjadi milik beliau iaitu 505.6 mata.

Terdahulu dalam kategori berpasukan acara yang sama, Nur Suryani mengumpul 397 mata untuk melayakkan diri ke pusingan akhir acara individu.

Bagaimanapun, dua lagi penembak Malaysia Shahera Rahim Raja dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim masing-masing hanya mampu mengutip 390 dan 379 mata sahaja.

Dalam saingan acara berpasukan, Malaysia hanya mampu berada pada kedudukan ke-13 daripada 15 negara yang bertanding dalam acara ini dengan mengumpul 1,166 mata.

"Pada pusingan awal saya hanya kurang satu mata untuk menyamai pencapaian terbaik saya. Di sini, saya buat 397, rekod peribadi saya ialah 398.

"Bagaimanapun, saya amat gembira bila masuk ke pertandingan akhir. Memang sasaran saya pada pusingan awal adalah untuk melayakkan diri ke pusingan akhir," kata Nur Suryani. Menurut beliau saingan di peringkat akhir sememangnya sengit khususnya dengan kehadiran beberapa jaguh dunia.

"Saya tidak nafikan pada pertandingan akhir ini ada juga tekanan tetapi saya dapat mengatasinya. Masa pertandingan akhir, saya langsung tidak sasarkan apa-apa pun. Kejayaan ini satu kejutan juga buat saya," katanya.

Selain acara 10m Air Rifle, Nur Suryani turut mengambil bahagian dalam acara 50m Rifle Prone dan 50m Rifle 3 Positions (individu dan berpasukan) pada temasya Sukan Asia ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain