suria

Menembak:Saingan Sukan Asia Lebih Sengit

Mohd Nurrahimin gigih menjalani latihan terakhir sebelum acara menembak bermula pada Sabtu. Foto: GLENN GUAN/The Star
Mohd Nurrahimin gigih menjalani latihan terakhir sebelum acara menembak bermula pada Sabtu. Foto: GLENN GUAN/The Star
Mohd Nurrahimin gigih menjalani latihan terakhir sebelum acara menembak bermula pada Sabtu. Foto: GLENN GUAN/The Star

GUANGZHOU: Pencapaian Malaysia membidik dua emas pada Sukan Komanwel di New Delhi, India, bulan lepas tidak menjanjikan ulangan pencapaian cemerlang skuad menembak negara pada Sukan Asia ke-16 di sini.

Pengurus pasukan Ching Huat Tee berkata rekod Malaysia pada temasya Sukan Asia itu sudah ternyata jelas dengan sendirinya selepas kali terakhir negara merangkul pingat 24 tahun lalu, iaitu sebutir perak dari pasukan trap pada edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan.

"Sejak itu, penembak negara gagal meraih sebarang pingat. Pada 2006 di Doha, Qatar, hanya Hasli Izwan Hasan layak ke final acara 25m Rapid Fire Pistol tetapi gagal memecah kebuntuan pingat," katanya di Lapangan Sasar Menembak Aoki di sini, Jumaat.

Berbanding Sukan Komanwel, Ching menjelaskan standard Sukan Asia adalah jauh lebih tinggi khususnya dengan penyertaan penembak bertaraf dunia dari negara-negara bekas Kesatuan Soviet.

"Namun, semuanya bergantung kepada keupayaan mental, tumpuan dan nasib penembak negara untuk menyumbang pingat," katanya.

Beliau meramalkan penembak wanita negara mempunyai peluang lebih cerah untuk merangkul pingat berikutan saingan dalam acara lelaki lebih sengit.

Dalam pada itu, penembak wanita negara Bibiana Ng Pei Chin berazam memperbaiki pencapaian peribadi terbaiknya pada temasya kali ini.

Ketika beraksi di Sukan Komanwel New Delhi, Bibiana memeperolehi satu pingat emas dalam acara 10m Air Pistol dan pingat gangsa bagi acara 25m Pistol Individu.

"Di Doha pada 2006, saya hanya mampu layak ke suku akhir dalam dua acara kegemaran saya itu. Kali ini, saya hanya harap untuk memperbaiki persembahan dengan mara ke separuh akhir," katanya.

Peserta dalam skuad negara menggalas cabaran di Guangzhou ialah Hasli Izwan, Hafiz Adzha, Bibiana Ng, Joseline Cheah Lee Yean, Shahera Rahim Raja, Mariani Rafali, Muhamad Shahril Sahak, Mohd Nurrahimin Abdul Halim, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Hisyam Adzha, Bernard Yeoh Cheng Han, Chen Seong Fook dan Ong Chee Kheng.

Acara menembak bermula pada Sabtu di Lapangan Sasar Aoki, kira-kira 80km, dari sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain