suria

Jenazah Daud Ibrahim Dikebumi Di Muar

Razali (kemeja biru) ketika melawat jenazah Daud di rumahnya di Muar, Johor pada Khamis.
Razali (kemeja biru) ketika melawat jenazah Daud di rumahnya di Muar, Johor pada Khamis.
Razali (kemeja biru) ketika melawat jenazah Daud di rumahnya di Muar, Johor pada Khamis.

MUAR: Jenazah bekas jaguh lumba basikal negara, Daud Ibrahim, yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di KM232.6 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Rembau, Negeri Sembilan, awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri di sini selepas solat zohor pada Khamis.

Allahyarham disemadikan bersebelahan kubur isteri pertama beliau, Allahyarham Maimon Ahmad.

Sebelum itu, jenazah dibawa ke kediamannya di Jalan Daud di sini pada 12.40 tengah hari dari Hospital Tampin.

Daud, 63, meninggalkan seorang isteri dikenali Lily, seorang warga Indonesia serta 13 anak daripada dua orang isteri yang masing-masing meninggal dunia pada tahun 2006 dan 2007.

Antara orang kenamaan yang dilihat hadir menziarah jenazah adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Abu Samah Abdul Wahab, Presiden Persatuan Lumba Basikal Johor, Datuk Samat Aripin, serta bekas pelumba negara, Datuk Ng Joo Ngan, Kamarden Ali, Ishak Amin dan Othman Rashid.

Razali ketika ditemui menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan lumba basikal.

"Tidak ramai atlet seperti beliau yang sanggup berkorban demi sukan yang diminati hingga ke akhir hayat dan patut dicontohi oleh atlet muda hari ini. Beliau adalah ketua jurulatih Persatuan Lumba Basikal Johor sehingga akhir hayat," katanya.

Razali, yang turut menyampaikan bantuan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Negara (Yakin) kepada keluarga Allahyarham, berkata usaha akan dibuat untuk membantu menguruskan bayaran insurans kepada keluarga itu secepat mungkin supaya pelajaran lima anak Allahyarham tidak terganggu.

Abu Samah pula berkata Daud adalah seorang atlet yang tegas dan tidak teragak-agak menegur persatuan jika ada sesuatu yang tidak disukainya.

Samat pula berkata Allahyarham baru sahaja pulang dari Sarawak selepas membimbing dan mengetuai pasukan Johor dalam kejohanan sirkit kebangsaan minggu lepas.

"Pelumba muda yang dibawa bersamanya iaitu dua anak beliau, Mohd Firdaus dan Fakaruddin serta pelumba wanita Norsalinah Abdul Karim, telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan walaupun kali pertama diketengahkan.

"Ketiadaan Allahyarham amat dirasai khususnya kepada pelumba Johor yang menganggap beliau sebagai bapa dalam sukan lumba basikal," katanya.

Ng pula berkata beliau kehilangan seorang kawan baik yang dikenalinya selama 51 tahun iaitu sejak mereka berumur 13 belas tahun lagi.

"Saya orang KL (Kuala Lumpur), dia JB (Johor Bahru), tapi kami sering berjumpa dalam perlumbaan basikal. Sejak itulah kami berkawan sehingga kami sama-sama mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Menurut Ng, beliau baru sahaja bertemu dengan Daud dua hari lepas dan mereka telah berbual mengenai zaman muda.

"Tak sangka perkara ini berlaku. Saya sangat sedih dan terkejut," katanya.

Ng berkata kenangan manis yang paling istimewa bersama Allahyarham adalah ketika kedua-dua mereka memenangi pingat emas pada Sukan Asia di Bangkok pada 1970.

"Orangnya suka bergurau dan suka mengusik saya, tapi bila mengajar dia fokus dan serius. Dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak didiknya," kata Ng.

Nor Affancy Rosli, antara pelumba yang pernah dilatih oleh Daud, berkata Allahyarham merupakan seorang jurulatih yang baik dan mudah didekati.

"Pemergian Allahyarham memang satu kehilangan besar buat sukan berbasikal negara apatah lagi beliau pergi sebelum kita sempat menunjukkan penghargaan di atas jasa beliau," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain