suria

Piala Sultan Platform Lahirkan Juara Dunia Lumba Kuda Lasak

SETIU: Menginjak edisi ke lima tahun ini, Kejohanan Cabaran Kuda Lasak Piala Sultan (Piala Sultan) kini berada pada landasan yang tepat dalam memacu perkembangan cabang sukan ekuestrian itu di negara ini.

Selain mencungkil bakat baru di kalangan rakyat tempatan, dalam masa yang boleh dikatakan singkat, ia berjaya meletakkan penunggang dari Malaysia setanding dengan penunggang kuda lasak di peringkat antarabangsa.

Mengakui masih belum berpuashati dengan pencapaian setakat ini, Pengurus Besar Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), Che Mat Din berkata masih banyak agenda dan perancangan pihaknya untuk mengembangkan lagi sukan kuda lasak, acara sukan ekuestrian yang paling pesat berkembang di dunia, di Malaysia.

Katanya sepanjang empat edisi terdahulu, Cabaran Kuda Lasak Terengganu berkembang dengan amat memberangsangkan.

"Dalam tempoh lima tahun lagi, RTES berharap Piala Sultan akan melahirkan seramai mungkin penunggang yang mampu memberi saingan di peringkat dunia, dan tidak mustahil menang kejohanan dunia," katanya ketika ditemui Bernama di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, di sini.

TIEP merupakan lokasi berlangsungnya Cabaran Kuda Lasak Piala Sultan 2010 dari 5 hingga 7 Nov.

Che Mat berkata sejak 10 tahun yang lalu sukan kuda lasak di negara ini semakin menunjukkan kematangan. Agak memeranjatkan apabila ada di kalangan bakat baru telah menyinar di persada antarabangsa.

"Ia sesuatu yang membanggakan apabila ada di kalangan penunggang kita yang telah melayakkan diri ke Sirkit Eropah," katanya.

Menurutnya, tiga penunggang muda RTES telah menempa nama di peringkat antarabangsa, Abdul Halim Alihan, Asri Abdul Aziz dan Jeffree Zainuddin Mohammad Arif.

Abdul Halim, Asri dan Jeffree merupakan tiga penunggang dari negara ini yang buat julung kalinya layak ke Kejohanan Eropah 2011 yang akan diadakan di Florac, Perancis. Jeffree juga merupakan juara Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2009.

Untuk edisi yang akan datang, Che Mat berkata Piala Sultan berhasrat melebarkan penyertaan kepada penunggang junior dan juga penunggang wanita.

Bagi peserta berprofil tinggi, tidak lain tidak bukan, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, baginda paling gembira dengan perkembangan memberangsangkan sukan berkuda di negara ini khususnya Piala Sultan.

Dalam perutusannya, baginda amat tertarik dengan peningkatan minat di kalangan rakyat negara ini terhadap sukan kuda lasak, terutama penunggang muda.

Baginda juga berbangga dengan pencapaian penunggang negara yang telah menunjukkan prestasi memuaskan di peringkat antarabangsa, termasuk kejayaan tiga penunggang muda menyertai Kejohanan Eropah 011 nanti.

Baginda juga mahu media memberi liputan yang sewajarnya terhadap sukan kuda lasak agar lebih ramai yang memahami, sekaligus menarik minat rakyat pelbagai peringkat terhadap sukan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, berkata kejohanan tahunan itu telah memacu pembangunan sukan tahan lasak dan meningkatkan tahap kesedaran sukan ekuestrian di kalangan rakyat Malaysia.

Kejohanan itu juga telah menyumbang ke arah menjadikan Terengganu sebagai hab ekuestrian di negara ini serta diiktiraf oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI).

Kejohanan Cabaran Kuda Lasak Piala Sultan 2010 merupakan satu perlumbaan yang merangkumi jarak lebih 120km trek penunggang dengan had masa yang ditetapkan selama 12 jam, termasuk waktu penahanan berjumlah 210 minit di empat pintu veterinar.

Jarak untuk pusingan pertama ialah 30km, jarak pusingan kedua (25km) ketiga (20km) keempat (25km) dan kelima yang juga terakhir (20km).

Pada setiap pintu veterinar, kuda mestilah menjalani pemeriksaan veterinar dalam tempoh masa yang ditetapkan dan kuda mesti wajib lulus ujian kesihatan, tahap dehidrasi, pernafasan dan kadar degupan jantung. Sekiranya degupan jantung yang ditetapkan tidak dicapai, kuda tersebut akan dibatalkan penyertaannya.

Berat minimum penunggang ditetapkan 75 kilogram termasuk pelana, dan jika beratnya kurang daripada itu, penunggang perlu membawa pemberat. Timbangan berat biasanya dilakukan sebelum dan selepas perlumbaan.

Sebelum perlumbaan, penunggang pula akan diberikan peta trek yang menunjukkan lokasi wajib berhenti serta rintangan-rintangan yang akan dilalui. Trek yang digunakan adalah berbeza di antara satu pusingan dengan pusingan lain.

Sukan ini bukan sekadar ujian di trek, tempoh masa dan pelumba lain. Ia merupakan ujian dari segi rohani, perasaan belas kasihan, dan cara berkomunikasi antara penunggang dengan kuda.

Pemenang perlumbaan dikira daripada kuda yang pertama melintasi garisan penamat dan kuda juga harus lulus pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan itu.

Anugerah Kuda Terbaik menjadi idaman setiap pelumba, ia diberi kepada pasangan kuda dan penunggang berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan.

Perlumbaan kuda lasak menjadi salah satu disiplin FEI pada tahun 1982, iaitu setelah 24 tahun FEI ditubuhkan.

Pada tahun 1982, terdapat hanya empat kejohanan antarabangsa yang dianjurkan, bertambah kepada kira-kira 18 pertandingan sehingga tahun 1998. Namun jumlahnya meningkat berkali ganda, 353 pertandingan pernah dianjurkan pada 2005. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain