suria

PAFA Umum Barisan Baru Galas Cabaran Liga Malaysia Tahun Depan

IPOH: Skuad bola sepak negeri Perak hari ini mengumumkan barisan pemain yang akan menggalas cabaran musim baru bola sepak Liga Malaysia bermula tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Zainal Padzi Paharuddin berkata semua 21 pemain yang terdiri daripada gabungan muka baru dan lama menandatangani kontrak dengan PAFA hari ini.

"Sepuluh pemain musim lepas kekal dan menyambung kontrak mereka, manakala lapan pemain baru ditawarkan untuk bersama dengan skuad 'Kejor Yob Kejor', dan tiga lagi masih mempunyai kontrak sehingga akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata pemain yang kekal dengan pasukan itu ialah Khairul Amri Salehuddin, Kamarul Effandi Abdul Rahim, Azmeer Yusof, Isma Alif Mohd Salim, K. Nanthakumar, Mohamad Khalis Ibrahim, Mohd Nasir Basharuddin, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, Nurul Hashriq Kamaruddin dan Khairul Izzat Jamaluddin.

Sementara mereka yang ditawarkan kontrak untuk menyertai pasukan Perak musim depan ialah Shahrulnizam Mustapa daripada Kedah, Mohd Khairi Zainuddin (PKNS), Mohd Syahman Zainuddin (Kuala Lumpur), Chan Wing Hoong, Mohd Nasril Mat Nourdin dan Hairizul Izuan Abdul Rani (ATM), Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa (Perlis) dan Mohd Shahrul Hafiz Mohd Shafie (Harimau Muda).

"Saya berharap mereka yang menerima tawaran untuk bersama-sama skuad 'Kejor Yob Kejor' dapat melengkapkan senarai 21 pemain yang akan didaftarkan bagi mewakili pasukan negeri dalam Liga Malaysia 2011 nanti," katanya.

Katanya tiga pemain yang masih mempunyai kontrak sehingga akhir tahun ini ialah Khairul Izzat Jamaluddin, Mohd Syazwan Mohd Roslan dan Razali Umar Kandasamy.

Beliau berkata pengumuman barisan 21 pemain itu dapat mengukuhkan skuad Perak yang akan beraksi di bawah bimbingan jurulatih Norizan Bakar, dan dapat memberi saingan sengit dalam kempen Liga Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain