suria

Harimau Muda Turut Beraksi Dalam Liga Super 2011

PETALING JAYA: Skuad Harimau Muda A antara 14 pasukan bola sepak negeri dan kelab yang telah mengesahkan penyertaan untuk bersaing dalam Liga Super tahun depan.

Naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata penyertaan Harimau Muda A menggantikan pasukan kelab dari Lembah Klang iaitu KL Plus yang menarik diri dari pertandingan liga 2011 itu.

Kesemua pasukan yang akan bertanding dalam liga itu akan dipastikan oleh FAM bebas dari semua hutang dan mendapat pelepasan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO

Liga Super merupakan liga elit Malaysia menawarkan hadiah wang tunai RM500,000 bagi juara, naib juara RM300,000 dan tempat ketiga RM150,000.

Sebanyak 11 pasukan dari Liga Super musim ini iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor FC, Kedah, Negeri Sembilan, T-Team, Pahang, Kuala Lumpur, Perak dan Perlis kekal bersaing dalam Liga Super musim depan, dan dua lagi ialah Felda United dan Sabah yang masing-masing merupakan juara dan naib juara Liga Perdana.

Sementara itu, Hamidin berkata tarikh perlawanan Piala Sumbangsih antara Selangor yang merupakan juara Liga Super dan Kelantan yang merupakan juara Piala Malaysia akan diumumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 26 November ini.

"Kita jangkakan perlawanan tersebut pada awal Januari depan di mana pasukan Selangor akan menjadi tuan rumah," katanya, Khamis.-BERNAMA

Artikel Lain