suria

Rajagobal Rombak Skuad Kebangsaaan ke Guangzhou

Aidil Zafuan (kiri) dan Zaquan Adha tidak dapat beraksi pada Sukan Asia kerana kecederaan. - M. Azhar Arif/The Star
Aidil Zafuan (kiri) dan Zaquan Adha tidak dapat beraksi pada Sukan Asia kerana kecederaan. - M. Azhar Arif/The Star
Aidil Zafuan (kiri) dan Zaquan Adha tidak dapat beraksi pada Sukan Asia kerana kecederaan. - M. Azhar Arif/The Star

PETALING JAYA: Kecederaan beberapa pemain utama membuatkan ketua jurulatih bola sepak negara, K. Rajagobal tiada pilihan lain kecuali memanggil kembali beberapa pemain senior bagi menggalas cabaran ke Sukan Asia di Guangzhou.

Antara pemain-pemain yang disahkan tidak dapat beraksi pada Sukan Asia ini termasuk Mohd Aidil Zafuan dan kembarnya, Zaquan Adha Abdul Radzak, Mohd Sabre Mat Abu dan Azmi Muslim, Mohd Sharbinee Allawee, Bunyamin Omar dan Gary Steven Robbat, Baddrol Bakhtiar, Mohamad Ashaari Samsudin, Mohd Safee Mohd Sali, Mohd Nasriq Baharom dan Mohd Amirulhadi Zainal.

Rajagobal berkata, 12 pemain itu terpaksa digugurkan daripada skuad kebangsaan dan terpaksa memanggil kembali tiga pemain senior iaitu Norhafiz Zamani Misbah, S. Kunalan dan Norshahrul Idlan Talaha dan turut menampilkan beberapa muka baru.

“Setelah mendapat laporan mengenai tahap kecederaan pemain-pemain itu, saya terpaksa menggantikan mereka dengan senarai pemain-pemain lain. Enam pemain daripada senarai kecederaan itu adalah tonggak utama.

“Saya yakin tiga pemain senior ini mampu memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda ini. Norsharul adalah pemain yang berkaliber dan mampu memberi saingan kepada lawan, Kunalan adalah seorang pemain yang mempunyai tenaga luar biasa yang dapat membantu mengejar bola, manakala Zamani adalah pemain yang banyak pengalaman dan dia dilantik sebagai kapten pasukan,” katanya kepada mStar Online, Khamis.

Sementara itu mengenai sasaran pada Sukan Asia ini, Rajagobal tidak meletakkan sebarang sasaran kerana berdasarkan beberapa faktor termasuk undian kumpulan, latihan yang tidak mencukupi serta kecederaan ramai pemain.

“Kita kena tengok pasukan mana yang berada ada bersama dalam kumpulan. Ia bukan pasukan mudah. Namun paling penting saya berharap mereka boleh menang perlawanan pertama dan selepas itulah baru boleh saya letakkan sasaran.

"Apapun saya yakin mereka akan memberi persembahan terbaik,” katanya.

Skuad Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen pertama pada Isnin ini menentang Kyrgyzstan, diikuti Jepun (10 November) dan tuan rumah, China (13 November).

Senarai 20 pemain ke Sukan Asia:

Khairul Fahmi Che Mat, Muhammad Zamir Selamat, Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, K Gurusamy, S Kunalan, Safiq Rahim, Amar Rohidan, S Chanturu, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri, Mohd Fandi Othman, Gary Steven Robbat, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd Asraruddin Putra Omar, Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakhri Saarani, Mohd Faizal Abu Bakar, Izzaq Faris Ramlan, Mohd Faizal Muhammad.

Artikel Sebelum

Artikel Lain