suria

Elaine Penerima Insentif Shakam Tertinggi

Elaine menerima insentif bernilai RM180,000. Foto THE STAR/CHAN TAK KONG
Elaine menerima insentif bernilai RM180,000. Foto THE STAR/CHAN TAK KONG
Elaine menerima insentif bernilai RM180,000. Foto THE STAR/CHAN TAK KONG

KUALA LUMPUR: Elaine Koon muncul penerima insentif tertinggi menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang diadakan bersempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia di Dewan Banquet Parlimen di sini, Rabu.

Ratu gimnas negara itu menerima RM180,000 selepas kejayaan membawa pulang satu pingat emas dan perak serta tiga gangsa pada Sukan Komanwel di New Delhi, India bulan lalu.

"Saya amat gembira kerana menerima insentif tertinggi ini. Wang itu akan saya gunakan untuk masa depan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Rabu.

Menurut Elaine, insentif itu menjadi penyuntik semangat untuk melakukan persembahan lebih baik pada Sukan Asia yang akan berlangsung pada 12 hingga 27 November ini di Guangzhou, China.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pingat. Cukuplah hanya melangkah ke pusingan final kerana terdapat lebih ramai gimnas hebat dari Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun dan Korea. Namun saya akan cuba melakukan yang terbaik demi negara," jelasnya.

Gimnas berusia 17 tahun itu melakukan kejutan selepas menghadirkan pingat emas ke-10 negara menerusi acara apparatus gelung dengan menewaskan peserta Francesca Jones dari Wales (perak) dan Chrystalleni Trikomiti dari Cyprus (gangsa).

Beraksi buat julung kalinya pada Sukan Asia, Elaine gigih meneruskan latihan fasa terakhirnya di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini dalam usaha mengekalkan kecergasannya 100 peratus.

"Saya belum cukup cergas tetapi akan cuba untuk mencapai kecergasan pada tahap maksimum. Saya sedar saingan pada Sukan Asia lebih sukar jika dibandingkan dengan Sukan Komanwel," ujarnya.

Elaine yang berada pada ranking ke-9 Asia akan menggalas cabaran bersama rakan senegara, Nur Hidayah Abdul Wahid dalam acara keseluruhan individu.

Beliau turut menduduki ranking ke-42 pada Kejuaraan Dunia di Moscow, Rusia, September lalu.

Sementara itu, penembak negara, Bibiana Ng Pei Chin dan atlet terjun, Pandelela Rinong Pamg masing-masing menerima insentif bernilai RM100,000 di atas kejayaan pada Sukan Komanwel baru-baru ini.

Bibiana meraih satu pingat emas acara 10m air pistol individu dan gangsa bagi acara 25m pistol individu.

Emas menjadi milik Pandelela selepas melakukan terjunan sempurna dalam acara 10m platform individu manakala pingat perak menerusi acara 10m platform seirama bergandingan dengan Leong Mun Yee.

Skuad badminton negara pula membawa insentif berjumlah RM430,000 selepas menambah koleksi pingat emas menerusi acara berpasukan campuran, beregu lelaki, perseorangan lelaki manakala perak dalam acara perseorangan wanita.

Artikel Sebelum

Artikel Lain