suria

Tiada Tekanan: Rizal

Rizal yakin dapat menghadiahkan pingat emas kepada negara.
Rizal yakin dapat menghadiahkan pingat emas kepada negara.
Rizal yakin dapat menghadiahkan pingat emas kepada negara.

MELBOURNE: Biarpun diletakkan sebagai sandaran utama untuk menghadirkan pingat emas buat kontinjen negara dalam acara trek berbasikal 1 kilometer ujian masa, Rizal Tisin mengakui tidak sedikitpun tertekan.

Sebaliknya, Rizal menaruh harapan dan yakin mampu menyumbang kilauan pingat emas buat negara pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi yang akan bermula 3 Oktober ini.

Keyakinan itu dilaungkan pelumba dari Klang, Selangor itu selepas mengambil kira rekod peribadi terbaiknya, 1 minit 01 saat yang pernah dicatatkan pada Kejuaraan Dunia di Poland, tahun lalu.

"Insyallah. Saya mensasarkan pingat emas dalam acara itu. Catatan semasa saya lebih baik jika dibandingkan dengan pelumba yang akan bersaing dalam kejohanan itu," katanya ketika ditemui media di Velodrom Joe Ciavola yang terletak di Pusat Sukan Antarabangsa Derabin di sini, Rabu.

Mengulas mengenai persiapan fasa akhir skuad trek negara sebelum berlepas ke India, Jumaat ini, Rizal menyifatkan latihan mereka lebih keras berbanding biasa dengan wujudnya program baru dikenali sebagai chamber altitude yang diilhamkan oleh ketua jurulatih basikal negara, John Beasley.

"Hanya saya dan Azizulhasni Awang yang terlibat dengan program baru itu. Ia bukan saja dapat membantu meningkatkan tenaga dalaman malah daya ketahanan saya kekal lebih lama untuk acara 1 kilometer ujian masa," jelasnya.

Menyifatkan Australia, New Zealand dan England sebagai pencabar utama, Rizal mengakui keadaan cuaca di India yang lebih panas sedikit sebanyak mempengaruhi rentak kayuhannya.

"Saya ada tengok berita tentang cuaca di India yang lebih panas. Jadi ia dapat membantu saya untuk melakukan kayuhan lebih laju," ujarnya.

Selain acara 1 kilometer ujian masa, Rizal turut menyertai acara keirin dan pecut berpasukan bersama-sama Azizulhasni dan Josiah Ng.

Walaupun acara keirin dan pecut berpasukan memiliki peluang tipis untuk menyumbang pingat emas, trio berbasikal negara itu dilihat berpotensi besar untuk menghadirkan sebarang pingat kelak.

Artikel Sebelum

Wigan Benam Wolves 2-0

Artikel Berikut

Artikel Lain