suria

Penganjuran Sukan Asia Di Guangzhou Boleh Dicontohi

KUALA LUMPUR: Melihat kepada insentif yang disediakan pihak penganjur sepanjang Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China, rasanya pihak penganjur di negara ini boleh turut mencontohi langkah yang telah diambil oleh pihak berkenaan di Guangzhou.

Pihak berkuasa Guangzhou bukan sahaja menghantar surat kepada penduduknya untuk memberitahu mereka tentang penganjran sukan berkenaan, malah akan menyediakan pengangkutan awam percuma untuk penduduk mengunjungi venue-venue kejohanan.

Menurut laman web rasmi Sukan Asia, Guangzhou juga merancang untuk memberi cuti umum selama tiga hari kepada rakyat untuk memeriahkan acara pembukaan dan penutup kejohanan, selain tambang percuma perkhidmatan bas dan subway selama 30 hari bekerja.

"Inisiatif-inisiatif ini bertujuan menambah minat rakyat kepada Sukan Asia," kata Timbalan Pengarah Pejabat Pentadbiran Umum Kerajaan Guangzhou, Ouyang Yongsheng.

Sebagai inisiatif tambahan, lebih 2 juta penduduk boleh memperolehi tiket percuma kejohanan menerusi cabutan bertuah, katanya.

Penduduk juga dikatakan bakal diberi potongan antara 50 hingga 80 peratus di kawasan-kawasan pelancongan antara 12-14 Nov dan 12-13 Disember.

Dari 11 November hingga 20 Dis pula, sebanyak 13 buah stadium akan dibuka secara percuma kepada penduduk dan lebih 1 juta tiket termasuk tiket untuk menonton wayang dan pameran kebudayaan selain tiket ke kejohanan akan diberi percuma juga menerusi cabutan bertuah.

Namun bagi Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi, sifat murah hati yang ditunjukkan oleh Guangzhou itu adalah bagi memastikan venue-venue pertandingan mereka tidak kosong.

"Dibandingkan dengan situasi di Sukan Komanwel di New Delhi, pihak penganjurnya mahu membuat duit dengan tidak memberi tiket percuma.

"Itu sebabnya pihak pengajur melaporkan terdapat banyak kerusi kosong untuk kejohanan. Tetapi di Guangzhou pula, pihak penganjur mahu memastikan stadium penuh dan menjadikan kejohanan lebih meriah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wigan Benam Wolves 2-0

Artikel Berikut

Artikel Lain