suria

Tenis: Saingan Yew Ming Berakhir

KUALA LUMPUR: Saingan pemain Malaysia, Yew Ming pada kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia 2010 berakhir apabila tewas kepada pemain berusia 18 tahun dari India, Yuki Bhambri,Isnin.

Pemain nombor satu negara ditewaskan dalam straight set 2-6, 0-6 oleh Bhamri, yang merupakan bekas pemain remaja nombor satu dunia.

"Walaupun saya mendahului 2-0 dalam perlawanan pertama dan bermula dengan agak baik, namun dia (Bhambri) bermain lebih bagus selepas itu," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut di Putra Stadium, Bukit Jalil semalam.

Yew Ming berkata dia cuba mengubah strateginya ketika di tengah-tengah perlawanan, namun tidak berhasil.

"Beberapa bulan kebelakangan ini membawa banyak perubahan kepada saya. Latihan di Sepanyol lebih banyak dilakukan di gelanggang tanah liat, jadi saya tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih di gelanggang tertutup seperti di sini (Putra Stadium)," kata pemain berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak itu.

Bhambri akan bertemu pemain nombor 11 dunia, David Ferrer dari Sepanyol atau Bernard Tomic dari Australia pada pusingan kedua kejohanan.

Selain Bhambri, lapan pemain pilihan Andrey Golubev dari Kazakhstan, Santiago Giraldo dari Colombia, Kevin Anderson dari Afrika Selatan dan Sergiy Stakhovsky dari Ukraine, turut mara ke pusingan berikutnya.

Golubev akan menentang Anderson selepas mengalahkan pemain nombor satu Asia Lu Yen Hsun dari Taiwan 7-5, 6-2 hari ini, manakala Giraldo, yang menewaskan pemain Poland, Przysiezny dengan 7-6, 6-1, akan bertemu sama ada pemain nombor 18 dunia Marcos Baghdati dari Cyprus atau pemain Jepun yang sedang mencipta nama dan berusia 20 tahun, Kei Nishikori.

Stakhovsky pula perlu menentang Igor Kunitsyn dari Rusia atau salah seorang pemenang di peringkat kelayakan.

Pemain nombor 31 dunia dari Ukraine itu mengalahkan Michael Russell dari America 2-6, 7-6, 6-3 selepas perlawanan sengit selama tiga jam.

Dalam perlawanan regu, Johan Brunstrom dari Sweden dan Scott Lipsky dari Amerika mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Santiago Gonzalez dari Mexico dan Travis Rettenmaier dari Amerika 6-3, 1-6, 20-18.

Sementara itu, dalam perlawanan perseorangan peringkat kelayakan pagi ini, Milos Raonic dari Kanada menjadi pemain terakhir mara selepas menewaskan pemain Jepun Ito Tatsuma 7-6, 6-2.

Petang esok, seorang lagi pemain Malaysia, Nazim Khan Mahmood Khan akan berganding dengan pemain pilihan kedua Nikolay Davydenko dari Rusia untuk menentang pasangan Eric Butorac dari Amerika dan Jean Julien Rojer dari Netherlands Antilles dalam pusingan pertama pertemuan beregu utama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain