Isu Kewangan Hantui Sukma

Diterbitkan: Selasa, 28 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketika semua negeri menyuarakan kebimbangan mengenai kos penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) yang semakin meningkat, penganjur temasya itu yang diadakan secara tahunan mulai tahun depan, pasti terpaksa menggalas beban kewangan.

Melaka, tuan rumah Sukma ke-13 pada Julai lepas, dilapor berbelanja melebihi RM50 juta manakala Majlis Sukan Negara (MSN), yang akan menjadi tuan rumah bagi tahun depan, memerlukan hampir RM20 juta bagi menampung kos penganjuran.

Edisi pertama Sukma di Kuala Lumpur pada 1986, temasya itu yang sebelum ini diadakan dua tahun sekali, hanya melibatkan kos RM4 juta dengan mempertandingkan lapan jenis sukan.

Bandingkannya dengan perbelajaan di Melaka yang membelanjakan RM25 juta semata-mata bagi tujuan aplikasi komunikasi dan teknologi termasuk penyediaan laman web serta mencetak kad akreditasi.

Dengan peruntukan kewangan yang semakin terhad, langkah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan (JKPS) pada mesyuaratnya Mei lepas meluluskan penganjuran Sukma setiap tahun bermula tahun hadapan dan berselang-seli dianjurkan oleh MSN dan negeri-negeri, pasti membebankan.

Pada seminar Penganjuran Sukan Malaysia selama dua hari yang berakhir Selasa, antara aspek utama yang dibincangkan ialah implikasi kewangan dan status atlet yang layak menyertai Sukma.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pahang Suhaimi Mohd Yunus berkata negeri-negeri bersetuju untuk menghantar kontinjen jika kerajaan persekutuan bersedia membantu daripada segi kewangan.

"Sebelum ini, Sukma diadakan dua tahun sekali. Mulai tahun depan, setiap tahun, pasti mendatangkan beban kewangan kepada negeri-negeri," katanya.

Suhaimi juga mencadangkan agar kos penganjuran temasya itu dikurangkan seminimum mungkin terutamanya kos sokongan seperti acara pembukaan dan penutupan temasya yang selalunya dibuat semeriah mungkin.

Beliau juga mahukan kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Belia dan Sukan dan MSN memberi jaminan dan meyakinkan negeri-negeri untuk membantu menanggung beban penganjuran Sukma.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong mengakui mengenai beban yang bukan sahaja ditanggung oleh negeri-negeri tetapi juga oleh MSN sendiri.

"Saya pasti, ketika JKPS membuat keputusan menganjurkan Sukma pada setiap tahun, jawatankuasa itu juga memikirkan mengenai implikasi kewangan," katanya.

Selain isu kewangan, seminar itu juga bersetuju untuk menetapkan had umur atlet yang layak bertanding ke temasya tersebut ialah 21 tahun berbanding 23 tahun sebelum ini.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Naim Mohamad yang membentangkan cadangan mengenai Kelayakan Peserta, mahukan atlet yang pernah bertanding di peringkat Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel tidak dibenarkan menyertai temasya itu manakala atlet Sukan SEA yang pernah memenangi pingat, dibenarkan beraksi tetapi dengan beberapa syarat.

Mengenai beban kewangan penganjuran, Naim mencadangkan acara perasmian dibuat dalam skala kecil, cukup dengan perarakan kontinjen dan bacaan ikrar.

Zolkples ketika mengulas cadangan itu bersetuju agar acara pembukaan dan penutupan Sukma tidak perlu berlebihan.

"Contohnya, ada acara pembukaan Sukma beberapa tahun lepas, diserikan dengan pertunjukan bunga api dan saya difahamkan, kos tersebut sahaja melebihi RM500,000," katanya.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sembilan, Fouzee Abdul Latif mencadangkan manual pengelolaan Sukma perlu disediakan bagi mengelak pelbagai perkara remeh temeh ditimbulkan setiap kali temasya tersebut dianjurkan.

Semua cadangan dari seminar ini yang disertai oleh wakil persatuan dan penggiat sukan, akan dibawa ke Majlis Tertinggi Sukma sebelum dibentangkan kepada JKPS.

MSN akan menganjurkan edisi ke-14 Sukma di Kompleks Sukan Bukit Jalil, tahun hadapan manakala Pahang akan menganjurkan pada tahun berikutnya.

Bermula tahun hadapan juga, Sukma akan mempertandingkan 24 acara terdiri 19 acara wajib dan lima acara pilihan.

Sukan wajib ialah akuatik (renang, terjun), badminton, bola sepak, gimnastik, hoki, olahraga, skuasy, tenpin boling, angkat berat, berbasikal, karate, boling padang, memanah, menembak, perahu layar, silat, sepak takraw, taekwondo dan wusyu.

Acara pilihan pula ialah besbol, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, bola tampar pantai, ekuestrian, petanque, golf, judo, kabaddi, kenu, kriket, lawan pedang, mendayung, ping-pong, ragbi, silambam, snuker & biliard, sofbol, tenis, tinju, bola baling, woodball, renang irama dan polo air.-BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan