suria

Pahang Ungguli Kumpulan B

KUALA LUMPUR: Pahang meraikan kemenangan besar setelah membelasah Kuala Lumpur 5-2 pada saingan kumpulan B, Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Sabtu.

Pahang, selaku tuan rumah perlawanan malam ini, terpaksa beraksi di tempat lain berikutan masalah lampu limpah yang rosak di Stadium Darul Makmur, menyebabkan perlawanan Pahang menentang Kuala Lumpur pada 17 Sept lepas terpaksa ditangguhkan.

Tuan rumah bermula garang dengan menguasai perlawanan separuh masa pertama apabila Mohd Fazli Baharuddin menjaringkan gol pada minit ke-29 melalui sepakan dari luar kotak penalti.

Anak didik Dollah Salleh terus menggandakan usaha apabila Azamuddin Mohd Akil menanduk gol kedua sebelum separuh masa pertama berakhir menerusi hantaran lintang cantik daripada Mohd Fauzi Roslan.

Pahang sekali lagi menjaringkan gol ketiga menerusi tandukan ke gawang gol oleh pemain gantian, R. Karthigesu pada minit ke-63.

Perlawanan bertambah dramatik apabila Kuala Lumpur bangkit menjaringkan gol selang dua minit kemudian oleh pemain gantian, Mohd Badrul Hisham Azmi hasil kesilapan pemain pertahanan Pahang, Mohd Hazri Rozali gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti.

Kuala Lumpur menambah jaringan pada minit ke-66 menerusi Ahmad Hazwan Bakri.

Tersentak dengan jaringan itu, Pahang bangkit semula untuk menghukum penjaga gol pelawat, Norazlan Razali menerusi sepakan Mohd Saiful Nizam Miswan pada minit ke-70.

Tuan rumah terus mengukuhkan kedudukan apabila berjaya menyumbat gol kelima pada minit ke-84 menerusi Famirul Asraf Sayuti hasil daripada kesilapan pemain lawan yang tertampan bola ke gawang sendiri.

Dengan kemenangan perlawanan itu, Pahang terus melonjak ke enam mata sebagai pendahulu kumpulan B, memintas Sabah dengan kelebihan satu mata. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain