suria

Muhammad Ziyad Bakat Baru Sukan Kuda Lasak

LANGKAWI: Dalam usianya baru 15 tahun, Muhammad Ziyad Muhammad Hamzah sudah mula mencipta kecemerlangan apabila tersenarai bagi persiapan Malaysia dalam acara kuda lasak Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Muhammad Ziyad yang dilahirkan di Kampung Ranggut Padang Matsirat di sini telah menunjuk bakat dan kemahiran sebagai penunggang kuda berpotensi besar berikutan kejayaan cemerlang dalam beberapa kejohanan.

Dalam usia yang muda, beliau telah mecipta beberapa kejayaan seperti meraih tempat ketiga pada Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Junior Australia 2010 dalam acara 80 km pada Mac lepas.

Kejohanan itu disertai lebih 300 peserta dari 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, Austalia dan Malaysia.

"Ini adalah kejayaan yang cukup memberangsangkan saya untuk terus mengharumkan nama negara. Saya bercita-cita menjadi penunggang kuda terbaik dan horse master pada masa depan. Saya merasa bangga kerana diberi kepercayaan menggalas cabaran negara pada temasya Sukan SEA," katanya, Isnin.

Beliau juga pernah menjuarai kategori Junior Terengganu International Endurance Race 2009 dan tempat ketiga Perlis Endurance Challenge 2010 Chuping, Perlis bagai acara 80 km.

Kerana pencapaian itu anak muda itu turut menerima anugerah kecemerlangan sukan Daerah Langkawi bagi tahun 2009.

Beliau mengikut jejak ayahnya Muhammad Hamzah Abdullah menjadi penunggang kuda dan mendapat bimbingan daripada ayahnya sejak berumur tujuh tahun.

Ayahnya juga menguruskan Island Horses Sdn Bhd, sebuah pusat penjagaan kuda, berhampiran Telaga Tujuh di sini.

Muhammad Ziyad, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra Padang Matsirat, kini mula mencipta nama sebagai penunggang yang berbakat besar.

Setiap hari, beliau menjalani latihan menunggang kuda dengan jarak antara 10 hingga 20 km bagi memantapkan persediaannya. Selain aktif dalam sukan berkuda, beliau turut bermain bola sepak dan bola baling dengan mencipta beberapa kejayaan semasa belajar di sekolah rendah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain