suria

Yew Ming Bawa Cabaran Negara Pada Terbuka ATP Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain utama negara Si Yew Ming akan beraksi pada Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia 2010 atas tiket 'wildcard' selepas pemain Australia Llyeton Hewitt menarik diri kerana kecederaan pergelangan tangan.

Yew Ming akan berdepan dengan pemain India Yuki Bhambri pada pusingan pembukaan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Isnin ini.

"Saya terkejut...bangga dan saya akan gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas undian kejohanan itu di stadium berkenaan, Sabtu.

"Ini adalah julung kali saya berjumpa dengan Bhambri. Yang penting saya akan menunjukkan penampilan terbaik dengan menggunakan pengalaman saya berlatih di Sepanyol," katanya.

Turut hadir pada majlis pengundian tersebut ialah seorang lagi pemain 'wildcard', Kei Nishikori dari Jepun yang akan berdepan dengan pemain Cyprus, Marcos Baghdatis.

Empat pemain utama Robin Soderling dari Sweden, Tomas Berdych (Republik Czech), Mikhail Youzhny (Russia) dan juara bertahan Nikolay Davydenko (Russia) mendapat 'bye' pada pusingan pertama.

Sementara itu, pemain negara Nazim Khan Mahmood Khan dan Ariez Elyaas Deen Hisham tersingkir dari pusingan kelayakan pada Sabtu.

Nazim Khan tewas kepada pemain Korea Selatan, Jun Woong-Sun 6-3, 6-1 manakala Ariez Elyaas tumpas di tangan pemain Perancis, Laurent Recourderc 6-2, 6-2.

Bagaimanapun, Nazim Khan akan berganding dengan Davydenko, pemain nombor enam dunia, dalam acara beregu pada kejohanan tersebut.

Pusingan kelayakan akan diteruskan pada Ahad bagi mengisi empat slot pada kejohanan utama nanti.

Keputusan Pusingan Kelayakan Pada Sabtu:

Laurent Recouderc (FRA) mn Ariez Elyaas Deen Heshaam (MAS) 6-2, 6-2

Joseph Sirianni (AUS) mn Johan Brunstrom (SWE) 6-4, 6-4

Igor Andreev (RUS) mn Christopher Rungkat (INA) 7-6, 6-2

Jun Woong-Sun (KOR) mn Nazim Khan Mahmood Khan (MAS) 6-3, 6-3

Frantisek Cermak (Cze) mn Nick Lindahl (AUS) 4-6, 7-6(6), 6-2

Scott Lipsky (USA) mn Travis Rettenmaier (USA) 4-6, 7-6(1), 6-3

Santiago Gonzalez (MEX) mn Philip Davydenko (RUS) 6-1, 6-3 - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain