suria

Hartawan Malaysia Intai Tiga Gelaran Perlumbaan Kuda Di Australia

MELBOURNE: Sehingga ini, tidak ada pemilik dalam sejarah acara lumba kuda paling berprestij dalam kalendar Australia, Karnival Victorian Spring, mempunyai tiga ekor kuda bersaing dalam acara utama perlumbaan tersebut.

Tetapi penghormatan itu menjadi milik hartawan Malaysia, Datuk Tan Chin Nam apabila tiga kuda miliknya menjadi pilihan utama dalam perlumbaan merebut Piala Melbourne, Piala Caulfield dan acara Cox Plate.

Selain tiga perlumbaan besar itu, Tan juga memiliki barisan kuda lasak untuk perlumbaan yang bakal menonjol dalam beberapa perlumbaan di sini pada tujuh minggu akan datang.

Pengurus Tan di Australia, Ducan Ramage, memberitahu Bernama bahawa pemilik berusia 84 tahun itu akan datang menyaksikan perlumbaan itu pada November ini bersama pelatih utamanya Bart Cummings, yang juga seorang warga emas.

Tan dan Cummings merupakan rakan karib dan menjalin kerjasama dalam bidang perlumbaan kuda sejak awal tahun 1970an.

Kuda berusia empat tahun, 'So You Think' disifatkan sebagai kuda terbaik perlumbaan yang dilatih oleh Cummings dan menjadi antara 10 kuda perlumbaan terbaik di Australia.

'So You Think' dijangka menjuarai perlumbaan Piala Melbourne di Balapan Flemington di sini pada 2 Nov ini selepas memenangi perlumbaan Memsie Stakes dan Underwood States di Balapan Caulfield minggu lepas.

Piala Melbourne 2010 bernilai AUS$6 juta (RM17.73 juta), yang ditaja oleh Emirates Airlines, menawarkan hadiah wang tunai utama AUS$3.6 juta (RM10.64 juta) serta piala.

Selain 'So You Think', kuda milik Tan lain pada Piala Caufield pada 16 Oktober ini ialah 'Dariana' dan Faint Perfume'.

Tan telah memenangi empat Piala Melbourne dengan kuda 'Think Big' (1974 dan 1975), 'Saintly' (1996) dan 'Viewed' pada 2008, kesemua haiwan itu dilatih oleh Cummings.

Kuda 'Think Big' dimiliki bersama oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang tiba di sini untuk menerima piala itu pada 1975.

Mengikut rekod, Cummings telah menjuarai Piala Melbourne sebanyak 12 kali, Piala Caufield sebanyak tujuh kali dan empat gelaran Cox Plates. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain