suria

Skuad Boling Padang Padang Berlepas Ke New Delhi

SEPANG: Skuad boling padang negara menjadi kumpulan atlet pertama dari Malaysia yang berlepas ke New Delhi bagi menghadapi temasya Sukan Komanwel yang akan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober ini.

"Berdasarkan kepada prestasi semasa pemain, saya yakin mereka sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Sukan Komanwel kali ini," kata ketua jurulatih boling padang negara Ariffin Abdul Ghani kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini,Jumaat.

Menurut beliau skuad kebangsaan sebelum ini menjalani latihan intensif selama sebulan di Paroi, Negeri Sembilan sebagai persediaan terakhir untuk menghadapi temasya empat tahun sekali itu.

"Pada program persediaan itu, atlet turut menyertai dua pertandingan di sana (Paroi) dan daripada pertandingan itu saya dapat lihat mereka dapat mengaplikasi segala yang dikehendaki oleh PLBM terutama dari segi strategi permainan dan kesediaan mental mereka.

"Segala kekurangan yang masih ada, apabila kita tiba di New Delhi selama seminggu lebih awal, kita akan cuba memperbaikinya," katanya.

Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) meletakkan sasaran empat pingat emas kepada enam pemain lelaki dan enam pemain wanita mereka.

Bagi kategori lelaki, pemain nombor satu dunia, Safuan Said menggalas cabaran negara dalam acara peseorangan; Fairul Izwan Muin dan Khairul Anuar Kadir (Pairs); Amir Yusof, Azim Azami Ariffin dan Syed Mohamad Syed Akil (Triples).

Sementara enam peserta wanita pula terdiri daripada pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel, Siti Zalina Ahmad (peseorangan); Nor Hashimah Ismail dan Nor Iryani Azmi (Pairs) serta Nur Fidrah Noh, Azlina Arshad dan Zuraini Khalid (Triples).

Mengenai isu keselamatan atlet semasa di Sukan Komanwel ini, Ariffin berkata beliau yakin pihak tuan rumah, India akan melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan semua atlet dan pegawai yang menyertai temasya itu.

"Kami sudah berbincang dengan semua pihak termasuk atlet mengenai perkara ini. Bagi atlet mereka tidak memikirkan sangat mengenai isu itu dan fokus mereka adalah kepada permainan," katanya. "Kami yakin dengan segala usaha yang dibuat oleh pihak sekretariat MS N(Majlis Sukan Negara) dan OCM (Majlis Olimpik Malaysia) mengenai perkara ini.

"Saya juga yakin dan percaya tuan rumah, India akan melakukan seberapa baik yang boleh mengenai isu keselamatan itu," katanya.

Semalam, satu pasukan awal urusetia kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel yang diketuai Pengurus Besar Sukan Komanwel Jefri Ngadirin berlepas ke New Delhi bagi meninjau dan menilai segala aspek persiapan terakhir tuan rumah sebelum temasya bermula. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain